Home Uncategorized Thailand perketat kawalan sempadan kekang kes import Covid-19

Thailand perketat kawalan sempadan kekang kes import Covid-19

0
Thailand perketat kawalan sempadan kekang kes import Covid-19

BANGKOK – Thailand kini memperketat kawalan keselamatan di sepanjang kawasan sempadannya dengan Malaysia dan Myanmar bagi mengekang aktiviti rentas sempadan secara haram yang berpotensi mengimport kes koronavirus (Covid-19).

Ketua Turus Batalion ke-4 Tentera Mejar Jeneral Pramote Phrom-in berkata, pihak berkuasa keselamatan memperketat penguatkuasaan di sempadan darat dan perairannya bagi menghalang rakyat asing menyusup masuk ke negara itu susulan peningkatan kes Covid-19 di Malaysia dan Myanmar.

“Peningkatan rondaan pihak berkuasa Thailand dan Malaysia menghasilkan pengurangan ketara dalam jumlah aktiviti rentas sempadan secara haram di sepanjang sempadan Thailand-Malaysia.

“Sejak penularan baharu gelombang kedua Covid-19 (di Malaysia), hanya terdapat beberapa kes aktiviti kemasukan secara haram dilaporkan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Menurutnya, kira-kira 24,000 rakyat Thailand kembali secara sah dari Malaysia sejak pembukaan semula lima pintu masuk daratnya di wilayah-wilayah selatan negara itu pada 18 April.

Sementara itu, Pramote meluahkan kebimbangannya mengenai aktiviti rentas sempadan secara tidak sah oleh migran yang turut mengelak menjalani ujian saringan Covid-19 dan kuarantin selama 14 hari.

“Kebimbangan kami paling utama kini ialah pekerja migran Myanmar melakukan percubaan untuk menyeberangi sempadan secara tidak sah selepas negara itu melaporkan peningkatan dalam jangkitan Covid-19.

“Pihak berkuasa keselamatan mempergiat rondaan di kawasan sempadan untuk mengekang penularan Covid-19 di Thailand. Langkah-Langkah sekatan akan dilaksanakan sehingga situasi itu pulih,” katanya.

Menurutnya, sebanyak 95 pekerja migran ditahan kebanyakannya di wilayah Ranong yang bersempadan dengan Myanmar.

Setakat ini, Thailand mencatat sejumlah 3,634 kes Covid-19 dengan 59 kematian. Malaysia pula mencatat 14,722 kes dengan 152 kematian manakala Myanmar sebanyak 23,906 kes dengan 566 kematian.

Malaysia kini berdepan gelombang ketiga penularan Covid-19 yang melanda negara sejak 1 Oktober. Jumlah jangkitan baharu melonjak ke tiga angka selama sembilan hari berturut-turut termasuk tertinggi adalah 691 kes pada 6 Oktober.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jangkitan baharu membabitkan beberapa kluster di Sabah dan Kedah, kawasan bersempadan dengan Thailand adalah disebabkan virus Covid-19 dengan mutasi jenis D614G yang lebih mudah merebak kerana kadar kebolehjangkitannya lebih tinggi. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here