Home Uncategorized 1,254 tiba dari Sabah jalani saringan Covid-19

1,254 tiba dari Sabah jalani saringan Covid-19

0
1,254 tiba dari Sabah jalani saringan Covid-19

JOHOR BAHRU – Seramai 1,254 individu yang tiba dari Sabah melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) dekat sini sudah menjalani ujian koronavirus (Covid-19) sehingga semalam.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyanathan berkata, sepanjang tempoh itu sebanyak 26 kes positif dikesan termasuk satu kes terbaru yang dikesan semalam.

“Lima kes positif baharu dicatatkan semalam termasuk satu kes dari Sabah dan empat kes baharu yang lain dikesan hasil saringan kontak rapat kes positif.

“Jabatan Kesihatan Negeri Johor kekal melaksanakan langkah-langkah pencegahan dan kawalan yang perlu bagi menangani peningkatan kes semasa.

“Saringan di pintu masuk masih dijalankan secara giat dengan pemasangan gelang bagi mereka yang datang dari Sabah dan ujian saringan Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kes jangkitan pandemik Covid-19 di Johor kembali meningkat menerusi Kluster Bakawali selepas dicetuskan oleh pasangan suami isteri yang pulang dari Sabah pada 18 September lalu.

Vidyanathan berkata, bagi kes Kluster Bakawali yang dilaporkan pada 29 September lalu, kumulatif kes positif kekal sebanyak 15 kes.

Jelas beliau, sehingga semalam sejumlah 357 kontak rapat yang dikenal pasti dan kesemuanya sudah menjalani saringan Covid-19 dengan semua keputusan adalah negatif, namun pemantauan terus dilakukan sehingga 28 Oktober ini.

Beliau berkata lagi, kes positif melibatkan individu masuk ke negara ini di sempadan Malaysia-Singapura pula menerusi skim Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) dan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) masih kekal satu positif.

“Sehingga semalam, seramai 1,230 individu menggunakan RGL dan 7,446 orang menggunakan PCA untuk masuk ke negara ini sejak sempadan dibuka pada 17 Ogos lalu,” katanya.

Dalam pada itu, Vidyanathan berkata, siasatan dan kawalan akan segera diambil terhadap sekolah sekiranya berlaku kes positif berikutan laporan sebelum ini membabitkan guru yang didapati positif.

“Tindakan saringan kontak serta ujian Covid-19 akan dijalankan terhadap individu yang dikenal pasti sebagai kontak rapat serta arahan kuarantin dan pengasingan di rumah selama 14 hari.

“Selain itu, tindakan kawalan seperti disinfeksi kawasan serta penutupan kelas atau kawasan terlibat akan dilakukan bagi memastikan tiada penularan dalam sekolah,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here