Home Uncategorized Solat Jumaat, fardu di masjid dibenarkan di KL, Putrajaya

Solat Jumaat, fardu di masjid dibenarkan di KL, Putrajaya

0
Solat Jumaat, fardu di masjid dibenarkan di KL, Putrajaya

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Solat Jumaat dan solat fardu di masjid dan surau dengan jumlah jemaah terhad dibenarkan di Kuala Lumpur dan Putrajaya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, di Selangor pula ia bergantung kepada pertimbangan pihak berkuasa agama di negeri tersebut.

Beliau berkata, keputusan itu diambil pada Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

“Bagi solat Jumaat di masjid dan surau di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, jumlah jemaah ditetapkan tidak melebihi 50 orang tertakluk kepada keluasan dewan solat dengan penjarakan satu meter antara jemaah.

“Bagi solat fardu tidak melebihi 20 jemaah tertakluk kepada keluasan dewan solat masjid dan surau dengan penjarakan satu meter antara jemaah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zulkifli berkata, jemaah akan ditentukan oleh Jawatankuasa Kariah Masjid dan Surau Jumaat masing-masing melalui jemputan atau kaedah terbaik yang diputuskan bersesuaian di bawah kariah masing-masing.

Beliau juga berharap Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dapat memastikan semua prosedur operasi standard (SOP) dapat dipatuhi sebaiknya oleh jemaah demi kemaslahatan bersama.

Terdahulu, kerajaan mengenakan PKPB semula di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang masuk hari kedua hari ini sehingga 27 Oktober ini bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Justeru, masjid dan rumah ibadat bukan Islam lain di tiga negeri itu sebelum ini adalah ditutup.

Selasa lalu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memaklumkan solat Jumaat, solat fardu berjemaah serta aktiviti mengimarahkan masjid dan surau di Selangor ditangguhkan semasa tempoh PKPB.

JAIS dipetik sebagai berkata pentadbir masjid dan surau di Selangor hendaklah memastikan solat Jumaat tidak dilaksanakan sepanjang tempoh penangguhan itu manakala solat fardu berjemaah pula hendaklah dilaksanakan dalam jumlah jemaah yang tidak melebihi tiga orang sahaja. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here