Home Uncategorized Petugas KKM dijangkiti Covid-19 boleh tuntut dana khas RM5 juta

Petugas KKM dijangkiti Covid-19 boleh tuntut dana khas RM5 juta

0
Petugas KKM dijangkiti Covid-19 boleh tuntut dana khas RM5 juta

SHAH ALAM – Semua petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) boleh menuntut dana khas melalui Dana MOH FWD MY Heroes yang berjumlah RM5 juta sekiranya dijangkiti virus koronavirus (Covid-19) ketika bertugas menangani penularan pandemik berkenaan.

Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Adnan Mat berkata, dana tersebut merupakan inisiatif pihaknya bersama FWD Takaful Berhad bagi membantu petugas barisan hadapan KKM yang dijangkiti ketika bertugas dan ahli keluarga mereka.

Beliau berkata, berdasarkan laporan KKM, terdapat lebih 406 petugas kesihatan di hospital kerajaan dijangkiti Covid-19 dan ia tidak termasuk ahli keluarga mereka.

Bagaimanapun katanya, sejak dana tersebut dilancarkan pada 1 April lalu, hanya 288 tuntutan diterima dengan nilai berjumlah RM732,000.

“Daripada jumlah tersebut, Cuepacs dan FWD Takaful membuat pembayaran kepada satu tuntutan melibatkan kes kematian akibat Covid-19 sebanyak RM50,000, sejumlah 10 tuntutan kematian akibat lain-lain sebab (RM100,000) dan 274 tuntutan kemasukan ke wad (RM552,000).

“Cuepacs menjangkakan tuntutan bertambah berdasarkan jumlah kes yang berlaku di Sabah dan menggalakkan semua ketua jabatan di KKM menghebahkan inisiatif Dana MOH FWD MY Heroes kepada kakitangan mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata lagi, petugas barisan hadapan KKM adalah termasuk doktor, jururawat, paramedik, juruteknik makmal, pekerja ambulans, pekerja pentadbiran hospital dan kakitangan KKM yang dikenal pasti bertugas secara rasmi bagi menangani penularan Covid-19.

Katanya, dana itu juga boleh dimanfaatkan kepada ahli keluarga petugas barisan hadapan yang mendapat jangkitan Covid-19 daripada mereka.

Dalam pada itu, Adnan berkata, dana terbabit terbahagi kepada dua jenis tuntutan yang boleh dikemukakan iaitu pembayaran ihsan dan elaun pelepasan.

Jelas Adnan, pembayaran ihsan dibayar sekiranya berlaku kematian petugas barisan hadapan sahaja dan sejumlah RM40,000 akan dibayar sekiranya kematian disebabkan oleh jangkitan Covid-19, manakala RM10,000 akan dibayar sekiranya kematian akibat lain-lain sebab.

“Untuk elaun pelepasan, tuntutan akan dibayar sekiranya petugas barisan hadapan dan ahli keluarga mereka dimasukkan ke mana-mana hospital kerajaan akibat jangkitan Covid-19.

“Sejumlah RM10,000 akan dibayar sekiranya dimasukkan ke ICU (Unit Rawatan Rapi), manakala sejumlah RM2,000 dibayar sekiranya dimasukkan ke wad biasa,” katanya.

Beliau berkata, kelayakan bagi pembayaran elaun pelepasan untuk wad biasa bergantung kepada nasihat KKM yang mana dibuat berdasarkan pengesyoran oleh ketua jabatan petugas barisan hadapan berpandukan garis panduan oleh kementerian itu.

“Ahli keluarga termasuk pasangan sah, anak-anak dan ibu bapa. Anak-anak mestilah berusia tidak kurang dari 25 tahun, belum berkahwin dan tidak bekerja.

“Pembayaran dana itu hanya untuk petugas barisan hadapan yang dijangkiti virus Covid-19 sewaktu bertugas dan percuma bermula 1 April lalu sehingga 31 Disember depan atau sehingga dana khas terbabit habis diguna pakai,” katanya.

Katanya, maklumat lanjut mengenai dana tersebut boleh dirujuk melalui laman web www.cc4usolutions.my.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here