MELAKA – Seorang pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) maut dipercayai akibat langgar lari ketika dia dalam perjalanan menghantar penyata elektrik di Jalan Parit Melana, One Krubong, di sini tengah hari, semalam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, dalam kemalangan jam 12.25 tengah hari itu, mangsa yang berusia 40 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian dan dia dipercayai dalam perjalanan dari arah Bandaraya Melaka menghala ke One Krubong.
Menurutnya, berdasarkan saksi lokasi kejadian, insiden dipercayai berlaku apabila terdapat sebuah kenderaan yang tidak dikenali pasti menghimpit motosikal mangsa lalu menyebabkan mangsa terbabas ke tengah pembahagi jalan.
“Mangsa cedera parah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayatnya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka. Siasatan lanjut berhubung kejadian ini masih dijalankan dan sehingga pagi ini belum ada individu yang tampil,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, pihaknya sedang mengesan kenderaan dipercayai terlibat dalam kemalangan itu dan meminta orang awam yang mempunyai maklumat untuk tampil.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.