Home Uncategorized Jual askrim sambil cabul remaja

Jual askrim sambil cabul remaja

0
Jual askrim sambil cabul remaja

KEPALA BATAS – Seorang lelaki warga Pakistan ditahan selepas dipercayai mencabul seorang remaja perempuan ketika sedang menjual aiskrim di Taman Seri Indah di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noot berkata, suspek berusia 25 tahun kemudian ditahan orang awam sehari dia melakukan perbuatan itu pada 15 Oktober lalu.

Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 4.45 petang ketika mangsa yang berusia 14 tahun bersama adik perempuannya berusia 6 tahun mahu membeli aiskrim dijual suspek di hadapan rumah mereka.

“Suspek yang menaiki motosikal berhenti di hadapan rumah mangsa. Ketika mangsa sedang melihat aiskrim di dalam tong ais di atas motosikal, suspek memegang bahu mangsa.

“Mangsa yang terkejut mengundur ke belakang. Suspek kemudiannya memberi aiskrim seperti yang diingini adik mangsa dan ketika mangsa ingin membayar, suspek bertindak memegang tangan mangsa lalu cuba menciumnya,” katanya ketika dihubungi tadi.

Beliau berkata, mangsa yang ketakutan terus berlari masuk ke kawasan rumahnya dan menutup pintu pagar.

“Suspek masih berada di hadapan rumah mangsa dengan menunjukkan wang sambil memanggil mangsa supaya datang semula ke arahnya. Bimbang dengan perkara itu, mangsa terus menghubungi ibunya yang ketika itu tiada di rumah.

“Kejadian tersebut disaksikan jiran mangsa menyebabkan suspek ditahan sehari selepas kejadian pada jam 4.30 petang. Ketika polis tiba di lokasi kejadian, mangsa mengalami luka di bahagian mulut dipercayai dipukul,” katanya.

Noorzainy berkata, mangsa dibawa ke hospital untuk rawatan namun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Hasil semakan, suspek tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah. Difahamkan, suspek turut akan membuat laporan polis kerana dipukul oleh orang awam.

“Suspek akan membuat laporan pada petang ini selepas menerima rawatan di hospital. Kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTKK) 2017 dan Akta Imigresen 1959” katanya.

Terdahulu, tular satu klip video berdurasi 2 minit 33 saat di media sosial berhubung seorang lelaki warga asing dipercayai dipukul oleh seorang lelaki warga tempatan susulan tindakannya mencabul seorang remaja perempuan.

Noorzainy turut meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran masyarakat setempat dan

tidak menyebarkan video berkenaan susulan kes kini dalam siasatan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here