Home Uncategorized Pesawat bawa aset, pasukan hospital medan berlepas ke Sabah

Pesawat bawa aset, pasukan hospital medan berlepas ke Sabah

0
Pesawat bawa aset, pasukan hospital medan berlepas ke Sabah

SHAH ALAM – Pesawat TUDM Airbus 400 yang membawa aset dan pasukan hospital medan berlepas dari Subang ke Tawau, Sabah hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi status yang dimuat naik di Facebooknya kira-kira sejam yang lalu berkata, Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Tawau sedang giat dibangunkan di Kompleks Sukan Tawau.

“Hospital Medan ini akan digunakan untuk merawat pesakit bukan Covid-19 khususnya untuk perkhidmatan perubatan am, pembedahan am, obstetrics dan gynaecology, orthopaedic dan paediatric.

“Ini bagi membolehkan Hospital Tawau memberi tumpuan kepada merawat pesakit Covid-19. Semoga dipermudahkan perjalanan,” ujarnya.

Sementara itu, menerusi ciapan Twitter Tentera Udara Malaysia (TUDM), TUDM@airforcenextgen memaklumkan bahawa penghantaran itu telah dilaksanakan oleh Kor Kesihatan Diraja (KKD).

Katanya, hospital medan itu akan beroperasi di Kompleks Sukan Tawau dengan kapasiti 100 katil termasuk empat katil unit rawatan rapi (ICU) bagi memberi rawatan khusus kepada kes-kes selain Covid-19.

Ahad lalu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjangkakan Hospital Medan ATM akan mula beroperasi minggu ini.

Menurutnya, pembukaan hospital tersebut bertujuan memberikan bantuan sokongan merawat kes selain Covid-19, pembedahan trauma dan kecemasan, wad bersalin serta lain-lain.

“Hospital medan ini tidak menerima pendatang asing tanpa izin (PATI) yang memerlukan rawatan kerana semalam kita telah umumkan, mereka akan berada di pusat kuarantin transit.

“Jika mereka positif akan dibawa ke hospital (untuk rawatan) seperti biasa,” katanya.

Perkara itu dilaksanakan atas keperluan menambah fasiliti perubatan bagi menangani situasi di Sabah, berikutan jangkaan peningkatan kes positif Covid-19 di negeri itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here