Home Rasuah Busters Yakin PM dapat ubah persepsi terhadap ahli politik

Yakin PM dapat ubah persepsi terhadap ahli politik

0
Yakin PM dapat ubah persepsi terhadap ahli politik
Abi Mursyidin Awal – Foto Sinar Harian ROSLI TALIB

SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diyakini dapat mengubah persepsi masyarakat terhadap ahli politik dan pemimpin negara berkenaan rasuah dan salah guna kuasa.

Peguam, Abi Mursyidin Awal berkata, kepercayaan masyarakat terhadap ahli politik di negara ketika ini semakin menipis.

“Cabaran utama ialah tidak ada ‘double standard’ meskipun Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempunyai kes mahkamah yang sedang berjalan.

“Perbicaraan perlu dilalui mestilah tanpa sebarang gangguan. Para hakim cukup berpengalaman dengan kes profil tinggi dan ia juga bakal mencatat satu lagi sejarah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis Kompas Rasuah Busters ‘Cabaran Anwar Pulihkan Integriti’ yang disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Rabu.

Turut menjadi panelis Pensyarah Program Pengajian Polisi, Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim dengan dihoskan oleh Anim Ezati Rizki.

“Datuk Seri Anwar dalam ucapan awalnya sebagai seorang Perdana Menteri, beliau dengan tegas berkata tidak akan berkompromi dengan mana-mana menteri di bawah pentadbirannya yang terlibat atau terpalit dengan isu integriti.

“Tetapi bagaimana pelaksanaan itu kita akan lihat. Sebagai rakyat kita tunggu hasilnya,” katanya

Jelasnya, melaksanakan integriti sebagai pelan tindakan dapat jadikan momentum bukan sekadar polemik.

“Beliau ada iltizam yang sangat jitu dibantu oleh menteri berpengalaman dan mereka yang berpengalaman dalam kerajaan selama ini.

“Masa Pakatan Harapan (PH) mula memerintah pada tahun 2018, ramai pertikai menteri yang dilantik tiada pengalaman, tetapi sekarang jemaah menteri beliau semuanya berpengalaman, pakar segala segi.

“Sebagai contoh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli sewaktu dulu di pentas politik beliau banyak menyuarakan formula dan pendapat dan sekarang tibalah masa untuk melaksanakannya,” ujarnya.

Mengulas lanjut berkenaan persepsi tidak baik tentang dunia politik, Abi menegaskan politik penting dalam mencorak sebuah negara.

“Kita tidak boleh kata tak nak masuk campur soal politik sebab politik membentuk pentadbiran kepimpinan sebuah negara,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here