
SHAH ALAM – Mewujudkan satu sistem pengawasan yang menyeluruh, konsisten dan telus dalam setiap peringkat pelaksanaan projek infrastruktur penting bagi membanteras gejala rasuah.
Pengerusi Gerakan Belia 4B Pulau Pinang, Mohamad Nazri Abdul Latiff berkata, ia meliputi semua aspek bermula daripada perancangan, perolehan, pelaksanaan sehingga kepada penyiapan dan penyelenggaraan projek.
“Projek-projek infrastruktur biasanya melibatkan kos yang besar, tempoh pelaksanaan yang panjang dan pelbagai kontraktor atau subkontraktor.
“Tanpa pemantauan yang rapi, ruang untuk penipuan, penyalahgunaan kuasa dan perbuatan rasuah menjadi sangat luas.
“Oleh itu, pemantauan ketat adalah strategi utama untuk mengelakkan kerugian besar kepada negara,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Sebelum ini, media melaporkan pelbagai aset termasuk kenderaan mewah, barangan kemas, beg tangan berjenama dan wang tunai bernilai RM32 juta disita daripada seorang Tan Sri yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), berhubung tuntutan palsu dan salah guna bon pinjaman bagi pembinaan sebuah lebuh raya di Lembah Klang.
Menurut sumber, kesemua barangan mewah itu diperoleh pegawai penyiasat Bahagian Siasatan SPRM selepas menyerbu dua kediaman milik Tan Sri itu yang terletak di ibu negara pada Khamis.
Tambah Mohamad Nazri, dia berasa amat kecewa dan mengutuk keras tindakan penyelewengan dana awam yang didakwa melibatkan seorang individu bergelar Tan Sri dalam projek pembinaan lebuh raya.
Tindakan seperti itu bukan sahaja mengkhianati amanah rakyat, tetapi juga menjejaskan pembangunan negara yang seharusnya telus dan berintegriti.
“Kami menuntut agar siasatan yang telus dan menyeluruh dilakukan, serta pihak yang terlibat dibawa ke muka pengadilan tanpa kompromi.
“Marilah kita bersama-sama memastikan setiap projek yang dilaksanakan adalah demi kepentingan rakyat, bukan untuk kepentingan peribadi,” katanya.
Menurutnya, dengan pemantauan yang ketat, sebarang penyelewengan atau penyimpangan daripada peraturan dapat dikesan lebih awal sebelum ia menjadi masalah besar.
Ia bukan sekadar tindakan reaktif, tetapi pendekatan pencegahan yang proaktif bagi membanteras rasuah sebelum ia berlaku,” katanya.