Home Rasuah Busters Wajibkan guna pembayaran digital, tutup ruang rasuah

Wajibkan guna pembayaran digital, tutup ruang rasuah

0
Wajibkan guna pembayaran digital, tutup ruang rasuah
Kerajaan perlu menutup sepenuhnya ruang kegiatan rasuah melalui dasar baharu, antaranya dengan mewajibkan penggunaan sistem dalam talian dan pembayaran secara digital. Gambar kecil: Mohamad Yusrizal – Gambar hiasan

SHAH ALAM – Kerajaan perlu menutup sepenuhnya ruang kegiatan rasuah melalui dasar baharu, antaranya dengan mewajibkan penggunaan sistem dalam talian dan pembayaran secara digital.

Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, langkah terbabit mampu menutup peluang-peluang penyelewengan dalam sistem kerajaan.

Menurutnya, sebarang transaksi dalam talian atau secara digital lebih mudah dikesan pihak bertanggungjawab sekiranya berlaku sebarang aktiviti berkaitan.

“Selain itu, audit terhadap akaun-akaun serta harta penjawat awam dan pihak berkepentingan juga perlu dilakukan bagi memastikan tiada ruang untuk kekayaan melampau tanpa sumber yang jelas.

“Kita perlu periksa, audit ataupun siasat supaya kita dapat tahu dengan jelas sama ada mereka menerima rasuah atau tidak,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Beliau berpandangan, jenayah kolar putih atau rasuah melibatkan pegawai-pegawai berpangkat tinggi juga perlu dibendung dengan siasatan secara adil.

“Jika sudah ada maklumat atau syak wasangka, perlulah ada tindakan tanpa amalan dua darjat daripada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau polis.

“Itu yang rakyat mahukan,” ujar Mohamad Yusrizal.

Beliau yakin, sekiranya langkah-langkah tersebut dilaksanakan, gejala rasuah dapat dibendung sehingga 85 ke 90 peratus.

Dalam perkembangan sama, Mohamad Yusrizal berkata, gejala rasuah menyebabkan banyak sistem kerajaan lumpuh dan memberi kesan buruk kepada pengguna.

“Dari segi kepenggunaan, harga barang menjadi tidak stabil dan berlaku monopoli serta kartel dalam pasaran. Semua itu dipercayai disebabkan ganjaran rasuah,” katanya.

Tambah beliau, situasi tersebut menunjukkan betapa pentingnya pelaksanaan dasar yang efisien agar rasuah dapat dibanteras dengan lebih berkesan.

“Langkah dilaksanakan kerajaan seperti mewujudkan kumpulan jawatankuasa untuk membanteras gejala rasuah, kita sambut baik tetapi perlu ditambah baik.

“Kita tidak boleh melihat rasuah hanya dalam kalangan orang politik sahaja, tetapi penjawat awam dan pemberi rasuah juga perlu dibanteras habis-habisan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here