Home Rasuah Busters Audit bebas berkala cegah penyelewengan dana

Audit bebas berkala cegah penyelewengan dana

0
Audit bebas berkala cegah penyelewengan dana
Laporan Sinar Harian berhubung SPRM sita aset RM32 juta milik Tan Sri disyaki seleweng dana bina lebuh raya. Gambar kanan: Halmey

SHAH ALAM – Kerajaan dicadangkan melaksanakan audit bebas terhadap projek bernilai tinggi setiap tahun sebagai langkah pencegahan awal bagi mengelakkan penyelewengan dana dalam projek infrastruktur negara.

Pengerusi Rasuah Busters Perlis, Dr Nor Halmey Hamdah berkata, langkah tersebut wajar dilaksanakan lebih awal berbanding hanya bertindak selepas sesuatu isu atau skandal berlaku kerana pada ketika itu, usaha menyelamatkan dana yang telah hilang sudah terlambat.

“Justeru antara cadangan untuk mencegah penyelewengan dana infrastruktur adalah pelaksanaan audit bebas secara berkala.

“Projek-projek bernilai tinggi harus diaudit secara bebas setiap tahun bukan hanya selepas skandal tercetus,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan bahawa pelbagai aset dan barangan mewah berjumlah RM32 juta telah disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dipercayai milik seorang pemegang konsesi lebuh raya bergelar Tan Sri.

Sumber memaklumkan bahawa tindakan SPRM itu susulan siasatan melibatkan penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya di Lembah Klang.

Dalam pada itu, Nor Halmey turut menyarankan agar kerajaan meneliti semula sistem tender dan pelantikan pemegang konsesi dalam projek infrastruktur.

Menurut beliau, terdapat keperluan untuk menyemak latar belakang pihak yang menerima konsesi, termasuk sumber kewangan dan rekod prestasi, agar tidak hanya berpandukan hubungan politik atau kelayakan asas semata-mata.

“Semua perjanjian konsesi dan kontrak pembinaan mega wajar disiarkan secara terbuka untuk semakan awam dan Parlimen.

“Selain itu, satu badan pemantau bebas perlu ditubuhkan melibatkan wakil masyarakat sivil, akademik dan profesional dalam setiap projek mega sebagai satu bentuk semak dan imbang,” ujarnya.

Beliau berpandangan bahawa kes terbaharu tersebut merupakan satu lagi bentuk penyalahgunaan kuasa dan ketirisan dalam sektor infrastruktur negara, khususnya apabila melibatkan dana sukuk.

Bagaimanapun, Nor Halmey menyifatkan tindakan SPRM itu sebagai langkah wajar dan memberi mesej jelas kepada semua pihak bahawa status sosial atau gelaran tidak meletakkan sesiapa pun di atas undang-undang.

“Namun, yang lebih penting ialah tindakan susulan, sama ada kes terbabit benar-benar dibawa ke muka pengadilan dan aset tersebut dapat dikembalikan kepada negara,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here