Home Rasuah Busters Terap, praktik, budayakan integriti bendung rasuah

Terap, praktik, budayakan integriti bendung rasuah

0
Terap, praktik, budayakan integriti bendung rasuah
Hamdan Daniel

SHAH ALAM – Integriti bukanlah sekadar konsep, tetapi satu nilai yang harus diterap, diamalkan dan dibudayakan dalam setiap aspek kehidupan, sama ada dalam sektor awam, swasta mahupun dalam kalangan masyarakat umum.

Pengerusi Gabungan Rasuah Busters Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, Profesor Dr Hamdan Daniel M Sharib berkata, apabila integriti dijadikan budaya harian, ia akan membentuk persekitaran yang bebas daripada penyelewengan, salah guna kuasa dan jenayah rasuah.

“Ia penting bukan sahaja untuk memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap institusi, tetapi juga bagi memastikan pentadbiran negara berjalan dengan cekap, telus dan berkesan.

“Sistem integriti yang kukuh bukan sahaja melibatkan pelaksanaan undang-undang yang tegas, tetapi juga penanaman nilai-nilai murni serta budaya akauntabiliti dalam sesebuah organisasi,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Sebelum ini, bekas Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tanjung Sedili, Mohd Zulfadli Nayan, dijatuhi hukuman penjara 20 bulan oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Jumaat selepas didapati bersalah menerima suapan RM10,000 sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap sebuah kapal yang sedang disiasat, lima tahun lalu.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail dalam penghakimannya menyatakan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Tambah Hamdan Daniel, penggunaan teknologi moden seperti e-pemeriksaan dan sistem pengauditan digital juga memainkan peranan penting dalam memantau serta mengesan sebarang anomali atau amalan tidak wajar yang boleh mencetuskan rasuah.

“Lagi berita berkaitan rasuah yang melibatkan kedaulatan negara tercemar. Pihak yang diharapkan menjaga perairan negara sebaliknya membuat nista dengan menerima rasuah demi kerakusan kepentingan diri sendiri sehingga sanggup menggadaikan kepentingan awam.

“Tindakan tidak bermoral dengan mengambil rasuah adalah satu perbuatan yang menggugat kesejahteraan rakyat dari segi keselamatan awam dan ekonomi. Begitu rapuh nilai integriti pihak tersebut dalam menjalankan tugas sehingga sanggup menerima rasuah walaupun mengetahui implikasinya terhadap diri sendiri, keluarga dan negara,” katanya.

Ujar beliau, pegawai terlibat seharusnya menjunjung kedaulatan negara dan mengamalkan sikap bersih, amanah serta berintegriti tinggi, bukan sahaja untuk kehidupan sendiri, tetapi juga sebagai contoh teladan kepada kakitangan bawahan agar menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab.

Tegasnya, ketika kerajaan kini giat memerangi rasuah, masih terdapat individu yang melawan arus.

“Semoga kes seperti ini tidak berulang kerana sempadan perairan negara merupakan sebahagian daripada kedaulatan yang wajib dijaga agar tidak dibolosi oleh anasir luar.

“Jati diri ialah benteng pertama dan utama negara. Moga Malaysia bebas daripada rasuah,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here