Home Rasuah Busters Institusi agama wajar jadi model bebas rasuah

Institusi agama wajar jadi model bebas rasuah

0
Institusi agama wajar jadi model bebas rasuah
Pandangan Islam terhadap perbuatan rasuah adalah jelas dan tegas apabila ia merupakan perbuatan yang haram dan berdosa besar. Gambar hiasan (gambar kecil: Mohamad Zaidin)

SHAH ALAM – Institusi keagamaan perlu menunjukkan kepimpinan beretika dalam urusan kewangan dan pentadbiran supaya dapat dijadikan sebagai model integriti yang bebas daripada sebarang penyelewengan.

Menurut Pengarah Institut Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Melayu Islam (INSPIRE), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Madya Dr Mohamad Zaidin Mat@Mohamad, usaha untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang bahaya rasuah sebagai dosa besar yang dilaknat ALLAH SWT juga boleh dilakukan melalui khutbah, kuliah dan ceramah agama.

Beliau berkata, pandangan Islam terhadap perbuatan rasuah adalah jelas dan tegas apabila ia merupakan perbuatan yang haram dan berdosa besar, sebagaimana ditegaskan dalam al-Quran dan hadis.

Katanya, al-Quran dalam surah al-Ma’idah ayat 42 dan surah al-Baqarah ayat 188 secara terang mencela perbuatan rasuah yang disifatkan sebagai memakan harta secara haram.

“Imam al-Baghawi menjelaskan ayat itu merujuk kepada para hakim Yahudi yang menerima rasuah dan memutuskan hukum untuk memenangkan orang yang merasuah mereka.

“Hadis riwayat Ibnu Hibban pula menyebut laknat ALLAH terhadap pemberi dan penerima rasuah, menunjukkan betapa seriusnya dosa ini dalam Islam,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambah beliau, rasuah termasuk dalam kategori memakan harta orang lain secara batil, sekali gus merosakkan integriti individu dan menghancurkan masyarakat serta negara. Ia juga merupakan halangan utama dalam mencapai nilai integriti yang diperjuangkan oleh Islam.

Katanya, perbuatan itu membawa kepada pengkhianatan amanah, penindasan, ketidakadilan, pembohongan serta penipuan yang boleh mencetuskan kerosakan moral dan sosial dalam jangka panjang.

“Individu yang terlibat dalam rasuah telah meruntuhkan nilai diri seperti kejujuran dan tanggungjawab kerana sanggup menggadaikan prinsip moral demi kepentingan peribadi seperti wang atau kuasa,” jelasnya.

Menurutnya, kesan jangka panjang kepada individu ialah kerosakan reputasi dan hilangnya kepercayaan masyarakat, selain risiko kehilangan jawatan serta tindakan undang-undang yang memalukan.

“Rasuah membawa kesan langsung yang merosakkan kepada kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan, termasuk ketidakadilan sosial apabila hak dan peluang dirampas oleh individu yang menyogok,” katanya lagi.

Mohamad Zaidin menjelaskan, sistem sosial dan ekonomi juga menjadi pincang apabila kedudukan atau bantuan tidak lagi berdasarkan merit, menyebabkan masyarakat menjadi lemah dan tidak berdaya saing.

Tambah beliau, dari sudut keselamatan negara pula, rasuah melemahkan struktur pertahanan apabila pegawai keselamatan terlibat dengan sogokan sehingga negara terdedah kepada ancaman luar seperti penyeludupan dan pengintipan.

“Dalam sistem kehakiman dan penguatkuasaan undang-undang pula, pelaku jenayah boleh terlepas daripada hukuman, sekali gus memperkasa kumpulan jenayah terancang yang membeli perlindungan undang-undang,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here