
SHAH ALAM – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disaran melibatkan penggiat seni profesional dalam usaha menyampaikan mesej pencegahan rasuah melalui platform kreatif.
Naib Presiden Pertubuhan Perdana Nasional (PPN), Muhammad Izuan Faiz Abdul Rahman berkata, kerjasama dengan pengkarya seni yang berpengalaman penting bagi memastikan hasil produksi yang berkualiti, autentik dan tidak bersifat ‘syok sendiri’.
Menurutnya, pendekatan kreatif, terutama menerusi dokumentari, filem atau teater, penting kerana ia mampu mendidik masyarakat secara lebih menarik dan mudah dihadam.
“Pendekatan ini juga berupaya memberi kesan emosi yang kuat serta mampu menjangkau lebih ramai orang melalui media sosial, filem dan persembahan langsung.
“Oleh itu, setiap kandungan harus menekankan kesan buruk rasuah terhadap negara, masyarakat dan individu. Mesej yang disampaikan perlu jelas, tegas dan mampu menggugah kesedaran penonton,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Sebelum ini, SPRM menyatakan hasrat untuk memanfaatkan platform kreatif seperti dokumentari, filem dan teater bagi memperluas pendekatan agensi itu dalam mendidik masyarakat mengenai pencegahan rasuah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dalam kenyataan memaklumkan bahawa pendidikan pencegahan rasuah menerusi pelbagai platform kreatif itu akan tertumpu kepada peranan SPRM dalam aspek penguatkuasaan, perolehan dan ketirisan dana awam.
Dalam pada itu, Muhammad Izuan berkata langkah tersebut amat strategik kerana berupaya menarik pelbagai golongan, terutama belia, serta meningkatkan impak emosi dan kesedaran. Mesej juga lebih mudah disebarluaskan melalui pelbagai medium.
“Kandungan bermutu yang mengangkat tema antirasuah belum menjadi arus perdana dalam industri seni dan media tempatan.
“Justeru, ia perlu disiarkan secara berkala melalui stesen televisyen dan radio nasional sebagai medium yang masih relevan dan mudah diakses oleh masyarakat luar bandar serta golongan berumur.
“Bagus juga sekiranya SPRM boleh menganjurkan program jelajah ke seluruh negara yang menggabungkan elemen seni, pendidikan dan interaksi masyarakat setempat. Ia lebih mesra komuniti dan membuka ruang dialog terbuka berkenaan isu rasuah,” ujarnya.
Beliau berpendapat bahawa memperluaskan literasi antirasuah melalui pendekatan tersebut akan membantu rakyat lebih memahami peranan mereka dalam memerangi rasuah.
Tambahnya, langkah ini bukan sahaja membina integriti individu tetapi juga membawa negara ke arah tadbir urus yang lebih bersih dan maju ke hadapan.