Home Rasuah Busters Prosedur rumit dorong rasuah dalam urusan perkahwinan

Prosedur rumit dorong rasuah dalam urusan perkahwinan

Prosedur rumit dorong rasuah dalam urusan perkahwinan
Prosedur pendaftaran perkahwinan yang rumit dan memakan masa mendorong kepada berlakunya rasuah dalam urusan perkahwinan. Gambar hiasan. Gambar kecil: Muhammad Mukmin

SHAH ALAM – Prosedur pendaftaran yang rumit dan memakan masa, terutama bagi perkahwinan di luar negara seperti Thailand, berkemungkinan mendorong kepada berlakunya rasuah dalam urusan tersebut.

Timbalan Presiden Pertubuhan Perdana Nasional (PPN), Muhammad Mukmin Nusril berkata, kerumitan itu mendorong pasangan mengambil jalan pintas dengan menggunakan khidmat ejen atau individu yang menawarkan perkhidmatan tidak sah.

Menurutnya, tindakan berkenaan membuka ruang kepada amalan rasuah termasuk dalam kalangan pegawai agama yang menyalahgunakan kuasa bagi mempercepatkan urusan perkahwinan.

“Ini berlaku apabila struktur dan sistem jabatan agama mempunyai kelemahan dalam aspek integriti serta pengawasan menyebabkan ia senang dimanipulasi oleh individu tidak bertanggungjawab.

“Ketiadaan sistem semakan dan audit yang berkesan juga membuatkan amalan ini berterusan tanpa dikesan dalam tempoh yang lama,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Sebelum ini, media melaporkan ejen nikah tidak bertauliah yang berleluasa di sempadan utara negara, dikesan menjadi antara punca penyelewengan dan salah guna kuasa membabitkan pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) yang pernah dibongkar oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

SPRM berkata, situasi itu menyebabkan berlakunya salah laku oleh pihak tertentu, termasuk kakitangan awam yang mahu mendapatkan keuntungan mudah melalui sindiket perkahwinan negara.

Dalam pada itu, Muhammad Mukmin meluahkan kebimbangan terhadap kes yang dilaporkan tersebut kerana ia mencemarkan imej institusi agama dan menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap integriti penjawat awam.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak termasuk masyarakat, pasangan bakal berkahwin dan jabatan agama memainkan peranan dalam menolak budaya rasuah.

Antara langkah yang disarankannya ialah memperketatkan penguatkuasaan terhadap ejen tidak sah dan memperkenalkan sistem pendaftaran yang lebih moden serta telus.

“Ia juga termasuk memberikan latihan integriti kepada pegawai jabatan agama dan melaksanakan sistem pemantauan serta audit secara berkala untuk mengesan atau mencegah amalan rasuah.

“Saya juga harap pasangan yang ingin berkahwin mengikuti semua langkah dan prosedur yang ditetapkan oleh pihak berkuasa agama tanpa mencari jalan pintas melalui ejen tidak bertauliah.

“Jika pasangan berdepan amalan rasuah atau penipuan dalam urusan perkahwinan, segera laporkan kepada SPRM,” ujarnya.

Beliau juga percaya, dengan kerjasama penuh semua pihak, perkara tidak diingini dapat dibanteras sekali gus memastikan institusi perkahwinan di negara kekal suci dan dihormati.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here