Home Rasuah Busters Semangat perpaduan dalam Rasuah Busters Johor

Semangat perpaduan dalam Rasuah Busters Johor

0
Semangat perpaduan dalam Rasuah Busters Johor
Pasukan Rasuah Busters Johor dibentuk dalam mesyuarat rakan gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada Jumaat.
Azmi

JOHOR BAHRU – Rasuah Busters Johor yang disertai beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berbilang bangsa dan golongan muda menjadi bukti semangat pelbagai pihak di negeri ini untuk menentang rasuah.

Pengerusi Rasuah Busters Johor, Azmi C Mohd berkata, Rasuah Busters Johor akan memberi komitmen sepenuhnya untuk bersama mendidik masyarakat dalam memerangi perbuatan tidak bermoral itu.

“Kita akan berikan komitmen sepenuhnya untuk menangani isu rasuah menerusi pelbagai pendekatan.

“Walaupun Rasuah Busters Johor baharu ditubuhkan, namun kami tetap bersemangat untuk memberikan yang terbaik.

“Penyertaan NGO daripada pelbagai kaum dan bangsa menyerlahkan lagi semangat perpaduan di antara kami sekali gus memudahkan penyampaian mesej memerangi rasuah kepada orang ramai,” katanya.

Beliau yang juga Setiausaha Perhubungan Yayasan Keperihatinan Komuniti Malaysia berkata demikian selepas Mesyuarat Pembentukan Pasukan Rasuah Busters di Hotel Seri Malaysia di sini pada malam Jumaat.

Pada majlis itu, Pengerusi Yayasan Anti Rasuah Malaysia negeri Johor, Rosdi Amir dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Rasuah Busters Johor manakala Timbalan pengerusi Persatuan Kepolisan Permas Jaya, Raynes Chong dilantik sebagai Setiausaha Rasuah Busters Johor.

Usahawan kedai menjual pakaian Burstore Streetware, Mohd Faiz Md Zaidon pula dipilih sebagai Timbalan Setiausaha Rasuah Busters Johor.

Antara NGO yang hadir ialah Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Johor, Yayasan Anti Rasuah Malaysia, Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF) Johor, Pertubuhan Muafakat Pengusaha dan Pemandu Bas Negeri Johor, Sekretariat Gabungan Bas Malaysia dan Diabetes Malaysia Cawangan Johor.

Turut hadir, Persatuan Kebajikan Suara Wanita Johor, Persatuan Kebajikan semangat kerjasama Johor Bahru, Pertubuhan Orang Lama Taman Cendana Pasir Gudang, Persatuan Tadika Johor

dan Persatuan Tadika Islam Malaysia.

Sesi penerangan mengenai Rasuah Busters telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin.

Sementara itu, Azmi bersyukur atas lantikan tersebut yang dianggap bukan sebagai perhargaan, sebaliknya tanggunjawab untuk menyampaikan mesej bagi menolak rasuah dalam masyarakat.

Bagi Timbalan Pengerusi Rasuah Busters Johor, Raynes Chong, kehadirannya dalam pasukan Rasuah Busters dianggap sebagai permulaan kepada dirinya untuk bersama-sama menyumbang idea bagi menangani isu rasuah.

“Banyak kali saya dengar tentang anti rasuah. Apabila mengetahui tentang Rasuah Busters akan datang ke Johor saya terus mengambil keputusan untuk turut serta.

“Saya mahu gunakan platform dalam Rasuah Busters ini untuk mengajak lebih ramai anggota masyarakat terutama yang bukan Melayu turut serta dalam kempen memerangi rasuah,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here