Home Rasuah Busters MPPWPKL komited bersama SPRM bagi perangi rasuah

MPPWPKL komited bersama SPRM bagi perangi rasuah

MPPWPKL komited bersama SPRM bagi perangi rasuah
Ramli menyampaikan ceramah pada SPRM bersama MPPWPKL di Hotel Pacific Regency di Kuala Lumpur pada Sabtu.

KUALA LUMPUR – Dialog Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (MPPWPKL) yang berlangsung pada Sabtu di Hotel Pacific Regency di sini, mendapat sambutan hangat apabila mencatatkan lebih daripada 150 kehadiran wakil MMPWPKL.

Penolong Kanan Pesuruhjaya Bahagian Pendidikan SPRM, Ramli Hassan berkata, kehadiran ramai itu membuktikan kesungguhan MPPWPKL untuk bersama SPRM bagi memerangi rasuah dalam komuniti sekali gus menjayakan agenda #MalaysiaTanpaRasuah.

Jelasnya lagi, dialog itu juga diharap menjadi jambatan kepada masyarakat menerusi MPPWPKL untuk menjadikan agensi seperti SPRM lebih dekat dengan mereka sepertimana yang diperjuangkan oleh SPRM supaya 'jauhi rasuah dan dekati mereka'.

“Kenapa SPRM beria-ia hendak buat program seperti ini. Saya hendak nyatakan bahawa ini merupakan langkah awal kita untuk mendekati masyarakat, kita hendak ubah persepsi bila dengar SPRM sahaja 'takut'.

“Kita dalam SPRM ini yang pertama sekali hendak mendidik, mahu beri kefahaman dan kesedaran tentang rasuah. Bila sudah ada kefahaman tentang rasuah ini kamu semua boleh sebarkan kepada mereka yang di bawah pula.

“Dialog ini juga diharap menjadi platform semua lebih mengenali SPRM, kita dalam proses nak jumpa pemimpin masyarakat serta akar umbi menerusi dialog-dialog seperti ini,” katanya ketika menjadi panel dalam dialog berkenaan pada Sabtu.

Yang turut hadir Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosio Ekonomi SPRM, Datuk Azmi Abdul Hamid; Ketua Penolong Kanan Penguasa Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM Kamsiah Ahmad; Penolong Penguasa Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Kasevan Rathakrishnan dan Penolong Pengarah Kanan Unit Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar (JPKKB), DBKL Muhammad Hasif Husin.

Jelasnya, sepertimana yang digariskan oleh Pelan Strategik SPRM 2021-2025, komitmen masyarakat dan rakyat dituntut untuk menjadikan Malaysia bebas rasuah.

“SPRM ada pelan strategik, matlamat kita untuk menjadi antara agensi penguat kuasa terunggul di peringkat antarabangsa. Kedua kita hendak jadikan negara kita bebas rasuah.

“Bila saya lihat hubung kait antara matlamat dan tanggungjawab MPPWPKL, ini adalah melaksanakan aktiviti yang berbentuk modal insan dan kemasyarakatan.

“Jadi, selepas ini bila berdialog boleh jemput SPRM dan kita akan masukkan input jauhi rasuah… inilah platform nak jumpa untuk berkenal-kenalan,” katanya.

Jelasnya, rasuah perlu diperangi kerana ia akan menjadi penyebab utama kepada keruntuhan kepada sesebuah negara.

“Anda tahu tentang masalah dadah, pendatang tanpa izin, masalah jenayah ia berpunca daripada rasuah, kesannya amat dahsyat.

“Rasuah juga telah menyebabkan nyawa terancam misalnya kes stadium runtuh, laluan gajah runtuh, negara juga boleh runtuh sepertimana yang terjadi kepada sebuah negara,” katanya.

Dalam pada itu beliau menyeru kepada orang ramai untuk menyalurkan maklumat berhubung kes rasuah kepada SPRM.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here