Home Rasuah Busters Selamatkan Johor dengan memilih parti, calon bebas rasuah

Selamatkan Johor dengan memilih parti, calon bebas rasuah

0
Selamatkan Johor dengan memilih parti, calon bebas rasuah

KLUANG – Tiada apa yang dipohon daripada pengundi melainkan memilih pemimpin yang ikhlas berkhidmat untuk rakyat dan bersih rasuah.

Demikian harapan calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semarang, Adzlan Raju yang mahukan seluruh bangsa Johor membuat keputusan tepat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Katanya, seluruh pengundi di selatan tanah air seharusnya buka mata dan hati ketika mana mahu membuat pengundian pada Sabtu ini terutama dalam memilih calon yang bakal mentadbir negeri bertuah Johor.

Menurutnya, kriteria utama calon yang mahu diundi haruslah individu yang bebas rasuah kerana golongan yang tidak terlibat dengan amalan jijik tersebut adalah golongan pemimpin berjiwa rakyat.

“Sekiranya calon yang ingin dipilih itu bebas rasuah, ia jelas membuktikan individu tersebut tidak tamak dan tidak terlibat dengan amalan salah guna kuasa.

“Malah individu atau calon yang tidak terlibat dengan amalan rasuah merupakan pemimpin yang berjiwa rakyat dan bakal berkhidmat dengan baik kepada masyarakat serta negara,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Adzlan berkata, rasuah merupakan satu penyakit yang membawa malapetaka besar kepada negara.

Menurutnya, rasuah bukan sahaja akan memusnahkan sistem pentadbiran dan pengurusan negara, malah boleh mencetuskan huru-hara dalam kalangan masyarakat.

Sehubungan itu tegasnya, masyarakat perlu sedar tentang kepentingan memilih pemimpin yang bersih dan bebas daripada rasuah.

Jelasnya, sekiranya perkara seumpama ini terus berlarutan dan isu rasuah tidak dibanteras, maka tidak mustahil suatu hari nanti negara yang tercinta ini akan musnah.

“Kita semua pastinya berharap satu perubahan besar akan berlaku. Namun semuanya bermula daripada diri kita sendiri.

“Jika amalan rasuah dapat dibanteras, saya yakin secara sendirinya ekonomi negara akan pulih kerana tiada lagi ketirisan yang berlaku,” katanya.

Kata Adzlan lagi, bagi membuktikan dirinya bebas rasuah dan ikhlas berkhidmat kepada masyarakat, dia telah menjalani ujian psikometrik RBTag yang dikendalikan oleh pasukan Rasuah Busters dan rakan gabungan.

Selain memuji pelaksanaan RBTag yang disifatkan sebagai langkah baik untuk diduduki oleh semua calon bertanding, dia juga berpuas hati kerana dapat menunaikan tanggungjawab untuk menjawab ujian psikometrik tersebut.

Ikuti perkembangan semasa #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here