Home Koronavirus Fasa endemik: Remaja 17 tahun ke bawah tak perlu jalani kuarantin

Fasa endemik: Remaja 17 tahun ke bawah tak perlu jalani kuarantin

0
Fasa endemik: Remaja 17 tahun ke bawah tak perlu jalani kuarantin

SHAH ALAM – Pengembara kanak-kanak dan remaja berumur 17 dan ke bawah tanpa mengira status vaksinasi, tidak perlu menjalani kuarantin selepas ketibaan ke Malaysia bermula 1 April ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, mereka hanya perlu melakukan ujian Covid-19 RTK Antigen dalam tempoh 24 jam selepas ketibaan di Malaysia.

“Ramai yang tanya, kanak-kanak bagaimana. Kami buat keputusan, kanak-kanak berusia 17 tahun ke bawah tidak perlu kuarantin selagi dia buat PCR sebelum berlepas dan RTK Ag sebelum sampai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar berkenaan peralihan ke endemik yang disiarkan secara langsung menerusi beberapa platform media sosial, pada Rabu.

Pada selasa, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Malaysia akan memasuki fasa peralihan ke endemik mulai 1 April ini.

Ismail Sabri berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira pelbagai faktor, melakukan penilaian risiko, mendapatkan pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta meneliti syor daripada Menteri Kuartet.

Dalam masa sama, Khairy berkata, antara protokol lain bagi pengembara adalah jika seseorang sedang menjalani kuarantin sebelum 1 April 2022, perintah kuarantin individu tersebut akan tamat pada 1hb April.

“Sebagai contoh, jika seseorang individu mula menjalani kuarantin pada 29 Mac, kuarantin tersebut akan tamat pada 1 April 2022,” ujarnya.

Selain itu, tambah beliau, untuk sesiapa yang tidak mendapat vaksinasi lengkap atau tidak menerima vaksinasi langsung, individu tersebut mesti menjalani kuarantin selama lima hari selepas ketibaan di Malaysia.

Katanya, selepas individu tersebut keluar dari kuarantin, individu tersebut mesti mengikut syarat-syarat yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia.

“Sebagai contoh, tidak boleh dine-in di restoran kerana tidak menerima vaksinasi lengkap sehingga mereka dapat vaksinasi yang lengkap,” katanya.

Bagi pengembara yang dikecualikan daripada menerima vaksinasi atas faktor kesihatan, jelasnya, individu tersebut perlu memuat naik bukti pengecualian yang diberikan oleh pegawai perubatan ke dalam aplikasi MySejahtera.

“Akan ada bahagian untuk mereka muat naik dan KKM akan menilai sama ada sahih atau tidak dan apabila sahih, mereka akan dapat pengecualian,” katanya.

Tambahnya, bagi protokol sempadan darat pula akan diumumkan pada minggu hadapan kerana ia memerlukan sedikit perincian.

“Sebab untuk sempadan darat, kita kena bezakan antara pengembara yang datang untuk melancong dan kumpulan yang berulang alik. Ini kerana agak susah untuk kita minta kumpulan yang berulang alik ini buat PCR tiap kali datang,” katanya.

Tambah beliau, KKM juga telah melancarkan portal https://covidprotocol.moh.gov.my yang mempunyai protokol individu semasa berkaitan Covid-19.

“Semua protokol yang terlibat dengan kesihatan dan juga pengembara yang masuk. Ada di portal ini. Kita akan kemas kini dari semasa ke semasa untuk keselesaan dan pemahaman masyarakat,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here