Home Rasuah Busters Rasuah wujudkan kelompok masyarakat penting diri

Rasuah wujudkan kelompok masyarakat penting diri

0
Rasuah wujudkan kelompok masyarakat penting diri

IPOH – Kegiatan rasuah yang tidak dibendung akan mewujudkan kelompok masyarakat yang mementingkan diri.

Yang Dipertua Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Perak, Mohamad Saifuddin Abdul Latiff mendakwa majoriti yang melakukan rasuah membabitkan kelompok yang berjawatan tinggi dan berkuasa.

Menurutnya, perbuatan itu juga masih kekal diamalkan kerana dikaburi oleh sifat pemberi dan penerima yang bersetuju melakukan jenayah itu bersama.

“Ramai yang terlibat rasuah sehingga wujud masyarakat yang mementingkan diri sendiri dan menatijahkan pembahagian kekayaan negara yang tidak seimbang.

“Oleh itu, untuk keluar daripada krisis ini terletak kepada cara kita memahami situasi semasa dan bertindak memberi tumpuan kepada isu-isu menyelamat manusia untuk diri manusia itu sendiri,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, penolakan terhadap rasuah jelas sama ada di dalam Islam atau agama yang lain kerana ia merupakan sesuatu pemberian untuk membatalkan kebenaran atau menegakkan kebatilan.

Beliau berkata, perilaku itu menyalahi fitrah penerapan nilai murni di dalam diri setiap masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

Sehubungan itu katanya, ABIM Perak mencadangkan usaha membanteras jenayah ini dibuat dengan memperkenalkan seruan Islah selain kempen Sinar Rasuah Buster yang dicetuskan oleh Sinar Harian.

“Ia merupakan satu kempen untuk membentuk masyarakat sama ada dari peringkat akar umbi sehingga rakyat marhaen yang mana kempen ini mengutamakan usaha dan pencapaian yang berasaskan prinsip tiada kesepakatan di atas kesesatan dan kesalahan.

“Tiga perkara yang saya fikirkan perlu dititikberatkan dalam memastikan semua pihak membenci rasuah iaitu merujuk Perlembagaan Persekutuan, mengerat hubungan mesra di dalam hati dan mencetus kemahuan dalam sanubari setiap individu untuk menyuruh ke arah kebaikan serta menegah keburukan,”.

Dalam pada itu, Mohamad Saifuddin berkata, antara kaedah penambahbaikan ialah kerajaan perlu bersama rakyat dan bukan menindas mereka.

Jelas beliau, kerajaan juga perlu berperanan mewujudkan semangat toleransi antara pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan gerakan membanteras jenayah ini secara bersama.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here