Home Rasuah Busters Basmi rasuah dari peringkat atasan hingga akar umbi

Basmi rasuah dari peringkat atasan hingga akar umbi

0
Basmi rasuah dari peringkat atasan hingga akar umbi

ALOR SETAR – Secara umum masyarakat sering mendengar isu rasuah melibatkan golongan atasan sahaja, namun tidakkah kita sedar bahawa diri kita juga merupakan penyumbang untuk gejala ini terus berleluasa.

Ketua Aktivis Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) Negeri Kedah, Asril Ariff Abdul Malik berkata, jenayah rasuah ini bermula dari warung kopi sehinggalah ke padang golf yang membawa maksud setiap peringkat masyarakat cenderung terlibat dengan rasuah.

Menurutnya, integriti haruslah disemai dalam jiwa individu dan elakkan sikap berkompromi dalam pemberian sesuatu tender atau urusniaga.

“Saya mencadangkan kerajaan mengadakan kursus dan bengkel khas bagi memerangi rasuah ini secara bulanan khas kepada pemimpin, penguatkuasa, pegawai dari atasan hinggalah ke peringkat bawahan.

“Ia juga harus melibatkan kumpulan sasaran dalam kalangan mereka yang berpotensi untuk memberi dan menerima rasuah,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Mengulas lanjut, Asril Ariff berkata, di peringkat sekolah kempen kesedaran perlulah diperluaskan tentang bahayanya gejala ini pada negara bukan sahaja tertakluk kepada ceramah anti rasuah semata-mata.

“Penguatkuasaan undang-undang terhadap pesalah rasuah juga perlu lebih berat supaya ia menjadi pengajaran kepada mereka yang lain.

“Ingatlah, anai-anai adalah serangga yang kecil tetapi bisa merobohkan rumah yang besar. Begitu juga kita, janganlah hanya asyik menyalahkan kerajaan, sebagai rakyat Malaysia kita sendiri haruslah memainkan peranan dalam membantu kerajaan membebaskan negara dari gejala rasuah ini selaras dengan moto MCW Anti Rasuah Bermula Dari Diri Anda,”katanya yang turut berharap kempen Sinar Rasuah Busters yang dilancarkan oleh Sinar Harian akan mencapai objektifnya.

KESAN RASUAH TERHADAP NEGARA

– Melumpuhkan fungsi organisasi

– Pentadbiran negara lemah

– Menjejaskan imej, kredibiliti negara

– Kualiti infrastruktur terjejas

– Pembangunan tidak seimbang

– Melahirkan pegawai tidak amanah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here