Home Rasuah Busters Pastikan kerjasama SPRM, agensi antarabangsa bukan hanya kosmetik

Pastikan kerjasama SPRM, agensi antarabangsa bukan hanya kosmetik

0
Pastikan kerjasama SPRM, agensi antarabangsa bukan hanya kosmetik
Laporan Sinar Harian berhubung SPRM, AFP tingkat kerjasama tangani rasuah, jenayah rentas sempadan. (Gambar kecil: Zikrullah)

SHAH ALAM – Kerjasama rentas sempadan antara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan agensi antarabangsa hanya akan bersifat kosmetik sekiranya tiada reformasi dalaman yang berkesan untuk membanteras jenayah rasuah dan pengubahan wang haram.

Ahli Majlis Tertinggi Rasuah Busters Pulau Pinang, Zikrullah Ismail berkata, rasuah dan pengubahan wang haram kini bersifat global melibatkan rangkaian transaksi merentasi negara dan pelbagai sistem kewangan.

Justeru, menurutnya, kolaborasi antara SPRM dan agensi antarabangsa perlu seiring dengan pengukuhan sistem dalam negara demi mencapai matlamat yang digariskan.

“Apa yang lebih penting, kerjasama tersebut harus menjadi peluang untuk memperkukuh sistem negara sendiri termasuk audit dalaman, pendedahan harta pegawai, perlindungan pemberi maklumat, dan pendidikan integriti.

“Tanpa reformasi dalaman, kerjasama luar hanya akan bersifat kosmetik,” katanya kepada Sinar Harian, pada Ahad.

Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan bahawa SPRM terus memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam memerangi jenayah rasuah dan kewangan apabila menerima kunjungan rasmi Polis Persekutuan Australia (AFP) di Ibu Pejabat SPRM.

Pertemuan dua hala tersebut diketuai oleh Pengarah Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM, Datuk Zamri Zainuddin, bersama wakil AFP, Nick Morgan, dalam usaha mempertingkat sinergi strategik antara Malaysia dan Australia, khususnya dalam isu rasuah, pengubahan wang haram dan jenayah rentas sempadan.

Dalam pada itu, Zikrullah menambah bahawa kerjasama seumpama itu perlu diperluas kerana diyakini mampu memberi impak positif termasuk keupayaan menjejaki aliran dana haram yang disorokkan di luar negara.

“Antara lain, pengesanan rangkaian sindiket berprofil tinggi serta tekanan diplomatik kepada negara-negara yang menjadi ‘syurga perlindungan’ bagi penjenayah kewangan,” ujarnya.

Bagaimanapun, tegas beliau, kerjasama tersebut perlu bersandar kepada prinsip integriti, ketelusan dan kebertanggungjawaban bersama, bukan semata-mata pertukaran maklumat atau tindakan operasi.

“Kita tidak mahu hanya menangkap ‘ikan kecil’ secara berasingan, tetapi gagal membina sistem pencegahan menyeluruh,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here