
SHAH ALAM – Penggunaan teknologi seperti sistem e-perolehan merupakan mekanisme paling berkesan dalam mengurangkan interaksi manusia yang boleh membuka ruang kepada aktiviti rasuah.
Pengerusi Gerakan Belia 4B Pulau Pinang, Mohamad Nazri Abdul Latiff berkata, sistem itu juga mampu mengesan penipuan dokumen secara automatik seperti penyata kewangan palsu atau sijil yang tidak sah.
“Semua transaksi, dokumen, komunikasi dan pemilihan pembida direkodkan secara digital. Ini mewujudkan jejak audit yang lengkap, menjadikannya lebih mudah untuk dikesan dan disiasat jika berlaku sebarang penyelewengan.
“Dengan sistem e-perolehan, pembida tidak perlu bersemuka atau berurusan secara langsung dengan pegawai. Semuanya dilakukan secara dalam talian. Ini menutup ruang untuk rundingan belakang tabir, sogokan atau ‘telefon orang dalam’,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Pada Rabu, bekas Penolong Juruukur Bahan di Majlis Perbandaran Dungun (MPD) dan isterinya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu atas pertuduhan mendapatkan suapan dan mengemukakan dokumen palsu berkaitan tender pembersihan awam bernilai keseluruhan lebih RM4.9 juta.
Kedua-dua tertuduh, Mohammad Hanif Ahmad, 41, dan isterinya, Maimunah Syahbudin, 47, membuat pengakuan tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman.
Berdasarkan empat pertuduhan, Mohammad Hanif didakwa menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan dengan mengesyorkan syarikat milik bapa, abang dan rakannya bagi tender perkhidmatan pembersihan awam dan kerja-kerja berkaitan bernilai keseluruhan RM4,984,296.
Tambah Mohamad Nazri, pihak berkuasa juga wajar menjatuhkan hukuman tegas terhadap individu atau syarikat yang terlibat dalam rasuah dan penipuan tender.
“Publisiti terhadap kes-kes ini juga penting sebagai mesej jelas kepada orang ramai bahawa tiada siapa yang kebal daripada tindakan undang-undang.
“Membendung rasuah dan penipuan dalam proses tender memerlukan komitmen semua pihak termasuk agensi kerajaan, syarikat swasta dan rakyat. Sistem yang cekap, telus dan adil bukan sahaja mengurangkan kebocoran dana awam, malah meningkatkan kepercayaan terhadap institusi negara.
“Rasuah bukan sekadar jenayah, tetapi pengkhianatan terhadap amanah rakyat,” katanya.