
SHAH ALAM – Rasuah dalam kalangan hakim boleh dicegah sekiranya sistem pengisytiharan harta secara terbuka dan pemantauan awam dilaksanakan tanpa kompromi.
Timbalan Presiden Pertubuhan Perdana Nasional (PPN), Muhammad Mukmin Nusril berkata, ketelusan dalam institusi kehakiman perlu diperkukuh melalui mekanisme pencegahan yang menyeluruh dan tegas.
Menurutnya, hakim yang terlibat dengan rasuah boleh menyebabkan keputusan yang dibuat sebelum ini dipertikaikan kesahihannya.
“Apabila hakim yang sepatutnya menjadi lambang keadilan, terlibat dalam rasuah, seluruh sistem kehakiman tercalar.
“Ia mewujudkan ketidakpercayaan rakyat terhadap keputusan mahkamah dan melumpuhkan prinsip keadilan serta kedaulatan undang-undang.
“Keputusan yang pernah dibuat boleh dipertikaikan kesahihannya. Ini bukan sahaja mencetuskan ketidakadilan terhadap pihak yang terlibat, malah boleh membuka ruang kepada krisis keyakinan terhadap keseluruhan sistem perundangan negara,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Sebelum ini, media melaporkan, Mahkamah Rayuan Putajaya pada Khamis mengembalikan keputusan Mahkamah Sesyen Shah Alam yang menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM25,000 terhadap seorang bekas Hakim Mahkamah Sesyen kerana menerima rasuah berhubung prosiding mahkamah.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali mengekalkan hukuman Mahkamah Sesyen itu selepas membenarkan rayuan akhir pendakwa raya untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 31 Julai 2023 yang menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM12,000 terhadap Azmil Muntapha Abas, 50.
Dalam pada itu, Muhammad Mukmin berkata, kes tersebut membuktikan bahawa tiada siapa terkecuali daripada undang-undang termasuk mereka yang memegang kuasa kehakiman.
“Rasuah dalam sistem keadilan adalah pengkhianatan terhadap amanah rakyat. Keputusan Mahkamah Rayuan ini penting untuk memulihkan kepercayaan orang terhadap integriti kehakiman negara.
“Jadi, saya berpendapat, negara kita memerlukan satu sistem pemantauan yang lebih bebas dan proaktif, kerana keadilan bukan sahaja mesti ditegakkan tetapi perlu kelihatan ditegakkan,” ujarnya.
Tambah beliau, kedudukan hakim yang berautoriti tinggi dan dilindungi kerahsiaan prosiding menjadikan usaha mendapatkan bukti salah laku sebagai cabaran utama.
Jelasnya, oleh kerana itu, ia menuntut siasatan yang teliti, berani dan berintegriti tanpa rasa takut atau pilih kasih, terutama apabila melibatkan kes rasuah dalam kalangan golongan kehakiman.
“Kita tidak boleh membiarkan sistem yang sepatutnya melindungi kita dicemari oleh kepentingan peribadi. Keadilan ialah hak setiap individu dan kita mesti bersama-sama bangkit menuntut perubahan.
“Institusi kehakiman yang bebas, berintegriti dan telus adalah tanggungjawab kita semua untuk memastikan masa depan yang adil bagi generasi akan datang,” tegas beliau.