

SHAH ALAM – Prinsip Agensi Pencegah Rasuah 2012 (Penyata Jakarta 2012) perlu sentiasa diulang dan diingatkan agar tidak dilupakan masyarakat serta pemerintah di Asia Tenggara.
Pengerusi Kesatuan Anti Rasuah Asia Tenggara (Sea Actions), Mochamad Praswad Nugraha berkata, prinsip dalam deklarasi tersebut penting bagi menjamin institusi antirasuah kekal bebas dan berintegriti.
Beliau berkata, pengulangan prinsip Penyata Jakarta 2012 perlu dilakukan secara berkala agar perjuangan menentang rasuah tidak dilupakan.
“Kita tidak mahu perkara ini menjadi seperti Reformasi 1998 di Indonesia, apabila tokoh mahasiswa yang memperjuangkan keadilan akhirnya menjadi pelaku rasuah selepas berkuasa.
“Kekuasaan itu manis, sehingga ramai yang dahulu menentang korupsi, akhirnya terjebak sama setelah memegang tampuk pemerintahan,” katanya dalam Forum Khas, Jakarta Statement: Solusi ASEAN Lawan Rasuah di Studio F, Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Rabu.
**media[3087445]**
Menurutnya lagi, Penyata Jakarta 2012 yang dicanang sejak 2012 perlu kembali dibincang dan dihayati bersama selepas 13 tahun tidak diberi perhatian serius.
Katanya, antara isu utama adalah bagaimana memastikan institusi antirasuah memiliki autonomi dalam aspek sumber manusia dan kewangan agar bebas daripada campur tangan politik.
“Pegawai penyiasat di Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK) Republik Indonesia contohnya, masih terdiri daripada anggota polis atau jabatan pendakwaan yang lain.
“Ini menimbulkan konflik kesetiaan dan menyukarkan penegakan hukum jika ia melibatkan institusi asal pegawai tersebut,” ujarnya.
Beliau turut menekankan pentingnya kerjasama merentas sempadan dalam memerangi rasuah, selaras dengan prinsip ketujuh dalam Penyata Jakarta 2012.
Mochamad Praswad turut menegaskan, pentingnya kolaborasi antara tiga komponen utama dalam memerangi rasuah di Asia Tenggara iaitu agensi pencegahan rasuah, organisasi masyarakat sivil dan media.
Jelas beliau, ketiga-tiga elemen itu perlu digabungkan dalam satu jaringan kukuh bagi memastikan usaha membanteras rasuah dilakukan secara menyeluruh, bebas dan berterusan di seluruh rantau.
“Salah guna kuasa ini unik, ia adalah gabungan antara kejahatan dan kekuasaan, sebab itu sangat sukar untuk melawan rasuah tanpa sokongan rakyat dan masyarakat sivil, kerana pelaku rasuah selalunya adalah mereka yang berkuasa, bukan rakyat biasa yang tidak punya kuasa,” katanya.