


SHAH ALAM – Kesatuan Anti Rasuah Asia Tenggara (Sea Actions) bercadang untuk membuat semakan bagi memastikan kesatuan itu telah memenuhi 16 Prinsip Penyata Jakarta berkaitan Prinsip Agensi Pencegah Rasuah 2012 (Penyata Jakarta 2012).
Presiden Sea Actions, Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, terdapat beberapa perkara yang dirasakan penting untuk diambil kira bagi memastikan agensi pencegahan rasuah memiliki mandat undang-undang kukuh, bebas dan berkesan.
**media[3087424]**
“Walaupun perlu memenuhi semua prinsip yang ditetapkan, namun kita masih berpandangan ada perkara penting yang menjadi nadi kepada agensi pencegahan rasuah iaitu kebebasan.
“Ia dapat dilihat dari segi sejauh mana mandat diberi, apakah kaedahnya (sama ada) melalui Perlembagaan, penubuhan insitusi pencegahan rasuah, undang-undang atau pentadbiran.
“Sekiranya dibuat secara pentadbiran, ianya longgar tetapi bila diletak bawah Perlembagaan, agak kukuh kerana sekiranya mahu dimansuh atau diubah, perlu mendapat dua per tiga sokongan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Forum Khas ‘Jakarta Statement Solusi ASEAN: Lawan Rasuah’ yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Rabu.
**media[3087426]**
Turut diundang sebagai panelis ialah Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Masyarakat (Rasuah Busters), Nurhayati Nordin dan Pengerusi Kesatuan Anti Rasuah Asia Tenggara (Sea Actions), Mochamad Praswad Nugraha manakalan Haizir Othman bertindak sebagai hos program.
Dalam pada itu Abu Kassim yang juga bekas Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan, badan pencegahan rasuah perlu diletakkan di bawah kuasa Perlembagaan agar lebih tulus, bebas dan dapat memperkasa peranannya sebagai sebuah agensi berintegriti.
Menurutnya, tiga perspektif perlu diutamakan iaitu bebas beroperasi, peruntukan kewangan dan pemilihan penjawatan.
“Apabila bertindak secara bebas, institusi berkenaan tidak akan mengenal kawan atau lawan dan sesiapa sahaja yang didapati terkait (isu rasuah), akan disiasat.
“Dalam konteks badan pencegahan rasuah di seluruh dunia, keputusan menjalankan siasatan mesti terletak di agensi tersebut terutama ketua jabatan.
“Maka agensi itu harus dimandatkan dalam struktur yang bagus selain mengambil kira elemen lain seperti pelantikan ketua pesuruhjaya, peranan badan pemantau, mandat jelas melalui perlembagaan atau undang-undang,” ujarnya.