Home Rasuah Busters Terap pendidikan antirasuah seawal tadika

Terap pendidikan antirasuah seawal tadika

0
Nilai-nilai murni seperti jujur, amanah dan bertanggungjawab perlu diterapkan sejak usia kanak-kanak lagi. (Gambar kecil: Hashima) Gambar hiasan

SHAH ALAM – Nilai-nilai murni seperti jujur, amanah dan bertanggungjawab perlu diterapkan sejak usia kanak-kanak lagi sebagai benteng awal bagi membendung gejala rasuah dalam masyarakat.

Naib Pengerusi Persatuan Taska Berdaftar Perlis, Hashima Saad berkata, penerapan nilai murni itu perlu bermula dari peringkat awal dengan sokongan penuh daripada ibu bapa dan pendidik.

Menurutnya, langkah terbaik adalah mendidik kanak-kanak seawal usia empat tahun agar mencontohi akhlak terpuji Rasulullah SAW.

“Jikalau kita ajar mereka dengan nilai murni sejak kecil, contohnya jujur dan amanah dalam diri mereka.

“Insya-ALLAH, mereka akan jadi insan yang lebih bertanggungjawab,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Bagi memastikan kefahaman yang efektif, Hashima menjelaskan bahawa antara pendekatan yang boleh digunakan di tadika termasuk kaedah bercerita, penggunaan buku cerita dan flashcard.

“Kita boleh guna konsep ‘picture reading’, tunjuk gambar dan terangkan tentang rasuah, apa yang tidak boleh dilakukan serta apa yang salah,” katanya.

Jelas beliau, kanak-kanak akan lebih mudah memahami dan dapat mengaitkan nilai-nilai murni dengan kehidupan harian mereka melalui kaedah penceritaan itu, sekali gus memahami kesan buruk rasuah terhadap individu dan keluarga.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Rasuah Busters Perlis turut menekankan betapa pentingnya peranan adab dan sifat malu dalam pembentukan keperibadian dan jati diri untuk menolak amalan rasuah.

Tegas beliau, guru tadika, ibu bapa dan murid juga perlu diberi pendedahan tentang perbezaan antara imbuhan, hadiah dan rasuah.

“Kita kena bantu mereka faham beza antara hadiah dengan rasuah, supaya mereka pun boleh didik anak atau pelajar dengan betul,” ujarnya lagi.

Hashima menegaskan bahawa usaha membanteras rasuah tidak boleh diletakkan di bahu pihak berkuasa semata-mata, sebaliknya ia merupakan tanggungjawab bersama yang perlu bermula dari rumah, sekolah dan seluruh lapisan masyarakat.