Home Rasuah Busters Pemimpin terpalit rasuah digesa tak bertanding PRU15

Pemimpin terpalit rasuah digesa tak bertanding PRU15

0
Pemimpin terpalit rasuah digesa tak bertanding PRU15
Asmaliza Mansor (kiri) bersama Hussamuddin dalam program Kompas Rasuah Busters Edisi Khas PRU15 bertajuk Rakyat Adalah ‘Boskau’ di Kompleks Karangkraf, Shah Alam pada Selasa.
Hussamuddin.

SHAH ALAM – Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub menggesa pemimpin yang terpalit dengan kes rasuah dan penyelewengan agar tidak menawarkan diri untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Hussamuddin berkata, pemimpin yang rekodnya sudah tercemar dan bermasalah sepatutnya berundur.

“Janganlah tawar diri lagi, cukup-cukuplah. Ada yang dah kaya raya. Ini adalah peluang untuk kalian undur diri dan bertaubat.

“Berilah peluang kepada negara ini untuk bangkit sekarang, bagilah peluang kepada anak cucu kita untuk mendapat kerajaan yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Kompas Rasuah Busters Edisi Khas PRU15 bertajuk Rakyat Adalah ‘Boskau’ dihoskan Asmaliza Mansor yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Selasa.

Hussamuddin menjelaskan, pengunduran itu juga akan membuka ruang kepada lebih ramai pemimpin lain yang jujur, berintegriti, berwawasan, bijak dan mempunyai solusi untuk kembalikan negara ke landasan yang betul.

“Ini kerana kita tengok negara ini sudah semakin mundur dan berpecah-belah kerana wujudnya kerakusan dalam politik.

“Jadi ketika ini, kita mahu pemimpin-pemimpin generasi baharu yang mampu keluarkan kita semua daripada kegelapan ini,” tambah beliau.

Susulan itu, Hussamuddin meminta rakyat menggunakan sepenuhnya kuasa sebagai pengundi dalam PRU15 nanti untuk memilih calon yang bersih dan berintegriti.

**media[1956630]**

Menurutnya, pendekatan terbaik dalam membuat pemilihan adalah dengan memilih calon dan bukannya parti.

Ujarnya, pemilihan calon yang tepat amat penting kerana lazimnya orang yang dipilih sebagai ahli Parlimen dan menjadi menteri lebih berkuasa dalam parti masing-masing.

“Rakyat harus gunakan kuasa untuk memilih calon yang betul untuk transformasikan kerajaan dan sistem politik.

“Ini peluang terbaik memilih pemimpin negara yang seterusnya akan melahirkan ramai pemimpin baharu untuk generasi masa depan.

“Jangan sia-siakan peluang ini, undilah dan sampaikan mesej bahawa kita atau aku adalah boskau #SatuJari Bebas Rasuah,” tegasnya.

Kata beliau, apa yang dikhuatirkan adalah jika ramai yang tidak keluar mengundi, calon yang rekodnya tercemar akan menang dalam pilihan raya berkenaan seterusnya menyebabkan ‘kerosakan’ yang dilakukan dalam tempoh lima tahun memimpin itu tidak lagi boleh diperbaiki.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here