Home Rasuah Busters Gejala rasuah perlu ditentang sehingga ke akar umbi

Gejala rasuah perlu ditentang sehingga ke akar umbi

0
Gejala rasuah perlu ditentang sehingga ke akar umbi
Gambar hiasan.

SHAH ALAM – Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menyifatkan kempen 1 Jari Bebas Rasuah adalah suatu usaha murni dalam memastikan gejala rasuah dalam kalangan ahli politik dapat ditentang habis-habisan hingga ke peringkat akar umbi.

Presidennya, Ahmad Farhan Rosli berkata, perkara tersebut akan dapat dicapai menerusi pemilihan calon yang berintegriti dan bebas rasuah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Menurut beliau, PKPIM sendiri telah melancarkan ‘Gerakan Kempen Kesedaran Undi 100 peratus’ bagi memastikan wujudnya koordinasi pergerakan dan perencanaan dalam memastikan golongan anak muda keluar melaksanakan tanggungjawab membuang undi pada 19 November ini.

“Bagaimanapun, usaha juga perlu dilakukan oleh kerajaan dari segi kemudahan termasuk menyelaraskan kenderaan untuk membolehkan mahasiswa keluar mengundi.

“Undian anak muda adalah sangat bernilai dalam memilih pemimpin dan parti politik yang baik bagi menentukan polisi-polisi yang mesra kepada golongan itu terutama pendidikan, pekerjaan, perumahan, keselamatan sosial dan ekonomi,” katanya ketika dihubungi Rasuah Busters, baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa hanya calon berintegriti mempunyai kemampuan untuk membawa kebaikan dan kemakmuran kepada negara dan rakyat jelata.

Ahmad Farhan menambah, para pengundi daripada kalangan anak muda harus memilih calon dan parti yang mempunyai komitmen membanteras rasuah dan melaksanakan tanggungjawab demi negara bukan kerakusan menjarah khazanah negara.

“Jika dilihat dari sudut lebih luas, kerosakan yang tercetus akibat rasuah dan salah guna kuasa ini tidak terhad kepada kerosakan fizikal sahaja, namun merangkumi kerosakan moral, nilai dan akhlak yang berakar dari perbuatan tidak bermoral itu,” ujar beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here