Home Rasuah Busters Maszlee sedia dedah keputusan ujian RBTag

Maszlee sedia dedah keputusan ujian RBTag

Maszlee sedia dedah keputusan ujian RBTag

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik menegaskan beliau tiada masalah untuk mendedahkan keputusan ujian psikometrik Rasuah Busters Tag (RBTag) yang akan diambilnya.

Bekas Menteri Pendidikan itu berkata, tidak ada perkara yang mahu disembunyikannya bahkan beliau menyarankan mana-mana individu yang menduduki ujian itu turut mendedahkan keputusan RBTag mereka.

“Saya tiada apa yang perlu disembunyikan. Kalau boleh semua orang didedahkan ujian psikometrik mereka,” katanya kepada Sinar Harian semasa sesi taklimat ujian psikometrik RBTag di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Khamis.

Difahamkan Maszlee akan mengambil ujian RBTag di Johor.

Ujian RBTag dijalankan secara profesional dan keputusan ujian adalah rahsia malah tidak akan didedahkan kepada pihak lain.

RBTag yang dilakukan secara dalam talian merupakan soalan secara rawak melibatkan 50 hingga 100 soalan melibatkan norma-norma budaya bangsa Malaysia.

Maszlee yang merupakan calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac nanti turut gembira selepas mendapat perkhabaran tentang adanya ujian psikometrik RBTag ini.

Katanya, semenjak hari pertama menyertai politik, beliau bertekad untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang adil, demokratik, bersih dan berintegriti.

“Buat pertama kali di Malaysia wujudnya pihak ketiga yang mewakili rakyat ingin menyediakan mekanisme ke arah Malaysia yang lebih berintegriti bermula dengan ujian psikometrik terhadap calon-calon pilihan raya atau orang politik.

“Mungkin selepas ini kita akan kembangkan kepada kakitangan kerajaan, penguat kuasa dan mereka yang berada di tampuk kekuasaan eksekutif,” ujarnya.

Beliau bersetuju untuk mengambil ujian psikometrik RBTag ini sebagai satu sokongan terhadap usaha daripada rakyat bagi menjadikan negara ini lebih amanah, bersih dan berintegriti.

“Saya menyokong penuh dan mendukung dengan penuh iltizam kepercayaan yang diberikan oleh Rasuah Busters,” ujar beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here