Home Rasuah Busters ‘Malu beri dan ambil rasuah’

‘Malu beri dan ambil rasuah’

0
‘Malu beri dan ambil rasuah’
Nurhayati

SHAH ALAM – Kembalikan maruah negara dengan memupuk kembali rasa malu untuk melakukan sebarang bentuk kemungkaran.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin berkata, terperangkapnya seseorang itu dengan rasuah sama ada kerana NGO iaitu need (keperluan), greed (ketamakan), opportunity (peluang) atau apa pun jua faktornya adalah disebabkan mereka gagal dalam membentengi diri dengan sifat malu.

“Malu ini lahir sebagai fitrah insani yang akan menyedarkan kita adalah hamba ALLAH dan akan meninggalkan dunia yang sementara dengan segala isinya.

“Dengan menyemai sifat malu, ia menjadi benteng mempertahankan nafsu, perasaan dan seluruh pancaindera kita daripada terlibat dengan sebarang perilaku yang tidak bermoral yang boleh merosakkan diri, keluarga, agama dan negara.

“Jadi mulai sekarang kita boleh ubah slogan untuk dijadikan semangat lawan rasuah misalnya ‘Memang Hendak Lawan Rasuah’ atau ‘Malu Beri dan Ambil Rasuah’,” katanya kepada Rasuah Busters.

Beliau mengulas berhubung hukuman oleh mahkamah terhadap pesalah-pesalah berprofil tinggi di Malaysia yang melibatkan kesalahan rasuah.

Terbaharu pada Khamis, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta terhadap Datin Seri Rosmah Mansor selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Terdahulu pada 28 Julai lalu (Selasa), bekas Perdana Menteri Datuk Najib Tun Razak yang juga merupakan suami kepada Rosmah, telah disabitkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

**media[1897204]**

Tambah Nurhayati, tamak haloba dan keinginan membuak-buak terhadap kehendak keduniaan yang tidak terkawal bukan saja akan memberi kesan kepada kerosakan kepada diri tetapi juga maruah banyak pihak lain.

“Yang mana akan turut tercemar dan dalam sesetengah keadaan amat sukar dibayar dengan berapa pun harga adalah maruah diri.

“Semoga dengan menyemai semula rasa malu, seluruh rakyat Malaysia akan lebih berhati-hati dalam menilai natijah rasuah yang bakal mengakibatkan kecelaan dan penghinaan tanpa mengira siapa pun kita,” tegasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here