Home Rasuah Busters Krisis buka peluang pencabulan integriti

Krisis buka peluang pencabulan integriti

0
Krisis buka peluang pencabulan integriti

KERAJAAN perlu memastikan supaya segala peruntukan yang digunakan bagi menangani pandemik Covid-19 melalui proses akauntabiliti yang ketat.

Presiden Persatuan Pemeriksa Fraud Bertauliah Malaysia, Datuk Seri Akhbar Satar berkata, krisis wabak yang melanda seluruh dunia ketika ini dilihat membuka peluang kepada berlakunya pencabulan integriti seperti rasuah dan penipuan.

Menurutnya, hal yang demikian berlaku kerana usaha menangani pandemik Covid-19 di seluruh dunia memerlukan peruntukan dana yang besar dan antara bahagian yang paling terdedah adalah sektor perolehan perubatan dan bekalan dalam sistem kesihatan.

“Disebabkan terdapat mekanisme singkat yang diletakkan semasa pandemik ini bagi mendapatkan barangan dan perkhidmatan penting, individu korup akan cuba menggunakan isu global tentang kekurangan kedua-dua bekalan perubatan dan kesihatan.

“Mereka melihat perkara ini sebagai peluang keemasan untuk mengambil kesempatan krisis semasa atas perolehan peribadi mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Akhbar berkata, kegiatan penipuan dan rasuah lazimnya dilakukan dengan cara mengenakan sekatan terhadap maklumat yang sukar untuk dicapai, menghapuskan keperluan ketelusan daripada perolehan awam dan mengelakkan mekanisme akauntabiliti awam.

Beliau berkata, tindakan kebanyakan negara di seluruh dunia yang lazimnya akan melonggarkan kaedah sedia ada untuk perolehan awam serta semak dan imbang bagi mempercepatkan penghantaran bantuan serta pertolongan kepada rakyat mereka juga menjadi punca kepada berlakunya kegiatan sedemikian.

Sehubungan itu, beliau menggesa agar agensi kerajaan seperti Jabatan Audit Negara dan beberapa auditor dalaman di sektor awam supaya terus melakukan tugas tanpa mengetepikan prinsip yang sepatutnya diamalkan.

“Seperti dalam perbelanjaan yang tidak berkaitan dengan Covid-19, mereka perlu melapor mana-mana tindakan yang tidak betul dalam pemberian dan pembayaran wang daripada pakej yang berkaitan dengan wabak berkenaan, terutamanya mereka yang terlibat dengan agensi barisan hadapan.

“Penelitian ini boleh disokong lagi dengan pemantauan dan pelaporan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan media sekiranya terdapat jaminan kebebasan media serta capaian mudah bagi maklumat yang relevan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here