Home Rasuah Busters Usaha tangani Covid-19 perlu jadi contoh banteras rasuah

Usaha tangani Covid-19 perlu jadi contoh banteras rasuah

0
Usaha tangani Covid-19 perlu jadi contoh banteras rasuah

SEREMBAN – Usaha dan pendekatan membanteras gejala rasuah perlulah mengambil contoh seperti kesepakatan antara kerajaan dan semua pihak dalam menangani penularan pandemik Covid-19.

Penasihat Persatuan Sahabat Kafa (PESAK) Negeri Sembilan, Zulkifli Muhamed berkata, seperti mana kesepakatan masyarakat membenci dan takut terhadap Covid-19, begitu juga dengan rasuah.

“Dalam menangani wabak Covid-19, semua pihak berdiri di atas satu kesungguhan iaitu menangani virus Covid-19 ini tanpa toleransi. Perlu ada satu tindakan serius.

“Lihat saja dalam tempoh hampir setahun pendekatan yang diambil, kita nampak bagaimana kesedaran ini sampai ke akar umbi dan saya berpendapat konsep kesepakatan yang sama ini perlu diterjemahkan dalam usaha kita membanteras gejala rasuah,” kata beliau kepada Sinar Harian di sini pada Selasa.

Menurutnya, beliau yakin jika dilaksanakan, ia bakal melahirkan satu generasi yang bukan sahaja bebas rasuah tetapi membenci rasuah sebagaimana bencinya kepada virus Covid-19.

Selain itu, katanya, satu sentimen perlu diwujudkan supaya semua pihak benar-benar takut melakukan perbuatan rasuah.

“Sekarang ini orang tahu rasuah itu salah, tapi orang tak rasa takut nak terima dan beri rasuah sepertimana mereka takut dengan Covid-19.

“Mereka rasa mereka boleh terlepas, tidak kantoi atau sebagainya. Jadi sentimen ketakutan itu perlu diwujudkan supaya semua benar-benar sedar,” katanya.

Beliau berkata, kesedaran holistik daripada masyarakat merupakan vaksin terbaik dalam perjuangan melumpuhkan gejala rasuah.

Dalam pada itu, katanya, budaya hidup bersederhana khususnya dalam kalangan kepimpinan perlu diperlihatkan secara meluas.

“Budaya positif sebegini boleh menjadi ikutan dalam kalangan masyarakat, sekali gus mampu memutuskan rantaian gejala rasuah,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here