Home Rasuah Busters Jangan sorok salah laku rasuah

Jangan sorok salah laku rasuah

0
Jangan sorok salah laku rasuah

SHAH ALAM – Sebarang salah laku rasuah tidak lagi boleh disembunyikan dan perlu dilaporkan segera kepada pihak yang bertanggungjawab.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Maslina Mohammed Shaed berkata, keberanian dan ketelusan rakyat dalam membanteras budaya rasuah perlu dilakukan secara bersama demi kesejahteraan hidup, sekaligus melahirkan sebuah negara bebas rasuah.

Katanya, sekiranya rakyat masih tidak mempunyai kesedaran dan takut untuk melaporkan kes rasuah, maka masalah ini tidak akan berakhir malah akan menjadi semakin kronik.

“Justeru, masing-masing perlu memainkan peranan sehabis baik dan tidak hanya mengharapkan pihak lain untuk membanteras amalan rasuah ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.Ketika ditanya mengenai faktor yang menyebabkan rakyat tidak mampu menolak rasuah, Maslina berkata, ia berikutan individu terbabit sudah terbiasa dengan budaya tersebut kerana mempunyai sikap integriti dan etika kerja yang sangat rendah.

“Desakan hidup turut menjadi faktor mereka terjerumus ke kancah rasuah, ditambah dengan keadaan ekonomi yang tidak stabil sehingga ada antara mereka yang terpaksa dibuang kerja dan hilang punca pendapatan.

“Justeru, keperluan terhadap wang dan kebendaan menyebabkan mereka melakukan rasuah tanpa memikirkan kesan perbuatan berkenaan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, sekiranya rakyat berpegang teguh kepada prinsip Rukun Negara dan mempunyai semangat patriotisme yang tinggi, maka ia dapat menghalang seseorang itu daripada melakukan rasuah.

Tegasnya, semangat patriotisme dan cintakan negara juga perlu disemai dalam diri setiap rakyat agar mereka sentiasa memikirkan impak tindakan mereka kepada negara.

“Rakyat yang bangga menjadi anak Malaysia akan sentiasa mengambil iktibar dan pengajaran dari negara luar yang mempunyai kes rasuah yang tinggi sehingga mengundang kemudaratan terhadap negara terbabit,” ujar Maslina.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here