Home Koronavirus Sabah merekodkan 1,379 kes positif

Sabah merekodkan 1,379 kes positif

0
Sabah merekodkan 1,379 kes positif

KOTA KINABALU – Sabah merekodkan 1,379 kes positif Covid-19 hari ini dengan 128 daripadanya dikesan menerusi dua kluster sedia ada di Telupid dan Kinabatangan menjadikan kumulatif 93,835 kes.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, kedua-dua kluster sedia ada itu ialah Kluster Gambaron 2 di Telupid yang merekodkan 68 kes dan Kluster Pauh di Kinabatangan dengan 60 kes sekali gus menyumbang kepada peningkatan kes harian di negeri itu pada Ahad.

“Secara keseluruhannya, saringan kontak rapat menyumbang kes baharu terbanyak iaitu 752 kes atau 54.53 peratus, saringan bergejala (265), saringan kluster (172), saringan bersasar (99) dan lain-lain saringan (91).

“Terdapat 17 kes melibatkan OKT (Orang Kena Tahan) sama ada di penjara atau pusat tahanan sementara Imigresen,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Masidi yang juga jurucakap rasmi kerajaan Sabah berkenaan Covid-19 berkata, penambahan kes baharu dikesan di kawasan bandar menunjukkan jangkitan mudah terjadi di tempat kerja dan semasa interaksi sosial, justeru rakyat digesa mematuhi prosedur operasi standard terutama mengamalkan penjarakan fizikal dan penggunaan pelitup muka selain tidak keluar rumah kecuali perlu.

Sementara itu, Masidi berkata, seramai 463 pesakit Covid-19 di Sabah sembuh dan dibenarkan keluar hospital menjadikan kumulatif 81,713 orang.

Beliau memberitahu, seramai 4,663 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 1,083 orang di hospital, Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah Awam (3,340), pusat tahanan sementara dan penjara (233) manakala tujuh orang di fasiliti swasta. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here