Home Koronavirus Jumlah kematian Covid-19 dijangka meningkat

Jumlah kematian Covid-19 dijangka meningkat

0
Jumlah kematian Covid-19 dijangka meningkat

SHAH ALAM – Jumlah kematian akibat Covid-19 di negara ini dijangka terus meningkat ekoran jumlah kes harian yang tinggi.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, ia berdasarkan prinsip perkadaran iaitu kes kematian berasaskan jumlah kes harian.

“Jumlah kematian mengikut jumlah kes. Bila angka kes tinggi, dengan sendirinya angka kematian itu akan bertambah.

“Jadi kalau kes tinggi, kematian pun tinggi walaupun peratusan kematian yang direkodkan sekarang masih rendah iaitu sekitar satu peratus,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kadar kematian akibat Covid-19 yang meningkat 21 kali ganda sepanjang lapan bulan pertama tahun ini berbanding jumlah kematian yang direkodkan tahun lalu.

Dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini, sejumlah 9,918 kematian direkodkan berbanding 471 kes yang dilaporkan pada 2020.

Mengulas lanjut, Dr Zainal berkata, selain perkadaran, terdapat empat lagi faktor utama lain yang menyebabkan berlaku kes kematian harian yang tinggi.

“Kita tengok sejak akhir-akhir ini banyak kes yang berlaku sudah di tahap teruk iaitu kategori empat dan lima yang memerlukan alat bantuan pernafasan, terpaksa dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) dan sebagainya. Jadi keadaan ini juga menyebabkan ramai yang terkorban.

“Seterusnya bila kes yang direkodkan setiap hari tinggi, sekarang dah capai 20,000 ia akan menyebabkan berlaku banyak kes pesakit tiba di hospital dalam keadaan teruk,” katanya.

Dr Zainal menambah, penularan varian Delta di negara ini turut mempengaruhi kes kematian harian kerana keadaan pesakit pada tahap ringan boleh berubah ke kategori tiga, empat dan lima dengan cepat.

“Ini antara faktor yang menjadi penyumbang kepada tingginya kes kematian yang dicatatkan sekarang selain faktor kemudahan kesihatan kita yang kian terbeban,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here