SHAH ALAM – Kumpulan #RasuahBusters mencadangkan kerajaan menubuhkan sebuah badan penilaian khas keselamatan pasca tragedi bagi menilai secara menyeluruh kelemahan ekosistem pengangkutan awam di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nurhayati Nordin berkata, tindakan itu penting bagi mengelakkan kejadian kemalangan maut membabitkan sebuah bas yang mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, Perak pada Isnin lalu daripada berulang pada masa hadapan.
Menurut Nurhayati, penubuhan badan berkenaan bukan sekadar menjalankan fungsi siasatan, malah perlu melihat secara holistik seluruh ekosistem pengangkutan untuk melaksanakan tindakan intervensi segera terhadap kelemahan sistem sedia ada.
Ujarnya, antara cadangan konkrit yang dikemukakan termasuklah mengadakan audit bebas dan menyeluruh terhadap prestasi serta perjalanan operasi syarikat pengangkutan.
“Pihak berkenaan juga perlu membuat penilaian semula ke atas modul latihan pemandu, khususnya bagi kenderaan komersial, selain meningkatkan penggunaan teknologi untuk memantau dan menghalang pemanduan berbahaya.
“Sistem pematuhan terbuka seperti Operator Compliance Risk Score (OCRS) yang digunakan di United Kingdom, mungkin boleh dipertimbangkan untuk menilai prestasi syarikat secara telus,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Mengulas lanjut, Nurhayati berkata #RasuahBusters juga menggesa supaya segala bentuk kelulusan yang diperoleh secara tidak sah disiasat dengan tindakan diambil tanpa kompromi.
Pada masa sama, beliau menyeru masyarakat agar berani tampil melaporkan sebarang unsur ‘red flag’ yang boleh membahayakan nyawa.
“Insiden ini bukan hanya satu tragedi, tetapi satu bentuk amaran bahawa kita tidak boleh terus menjadi korban kepada sistem yang lemah dan kegagalan manusia menjalankan amanah,” tegasnya.
Menurutnya, tragedi tersebut sekali lagi membuktikan betapa mahalnya harga sebuah kelalaian dan betapa mendesaknya keperluan untuk pembaharuan yang bukan sahaja menyentuh dasar, tetapi juga integriti pelaksanaannya.
“Sekalipun takdir adalah sesuatu yang telah ditetapkan, naratif ini bukanlah pembelaan kepada kegagalan sistem yang rosak akibat sikap dan kerakusan manusia,” katanya.
Nurhayati turut menegaskan bahawa pengawasan yang longgar, potensi rasuah struktural dalam proses tender dan kontrak, serta kelemahan dalam modul pemanduan telah menjadikan jalan raya sebagai ‘medan pembunuhan senyap’.