KAPAR – Calon Perikatan Nasional (PN) yang bertanding di kawasan Kapar, Dr Halimah Ali tidak akan berkompromi dalam menangani gejala rasuah yang bergelumang di negara ini.
Menurutnya, amalan rasuah adalah satu satu perkara penting yang perlu diperangi dalam PN khususnya Pas sebagai salah satu komponen parti tersebut.
Beliau yang sebelum ini merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang itu berkata, ia bertepatan dengan slogan PN iaitu PN BEST: Prihatin, Bersih dan Stabil.
“Kami daripada Pas yang merupakan komponen dalam PN, menangani gejala rasuah yang bergelumang selama berdekad-dekad dalam negara kita adalah salah satu perkara yang sangat penting.
“Kami dilatih melalui prosedur operasi standard (SOP) yang mana, pemohon awal (menyertai PN) akan diproses mengikut giliran, bukannya menghantar permohonan lewat dan diselitkan dengan duit kopi untuk cepatkan proses.
“Jadi berkenaan rasuah, itu adalah antara perkara yang kami utarakan,” katanya pada Selasa.
**media[1974855]**
Dalam perkembangan lain, Halimah berkata, pihaknya akan berusaha untuk mengangkat suara golongan miskin di kawasan tersebut jika beliau memenangi kerusi Parlimen Kapar.
Beliau berkata, keluhan golongan berkenaan didakwa tidak mendapat perhatian pihak berwajib berbanding golongan kaya di sini.
“Kapar antara tempat yang agak tua, infrastruktur (jalan) masih berlubang di sana sini, jadi suara ini seolah-olah tidak diutarakan kepada pihak berwajib.
“Jadi adalah menjadi misi saya untuk mengangkat suara-suara rakyat di sini,” katanya.