Home Rasuah Busters Bekas Pengarah SPRM dipilih Pengerusi Rasuah Busters NS

Bekas Pengarah SPRM dipilih Pengerusi Rasuah Busters NS

0
Bekas Pengarah SPRM dipilih Pengerusi Rasuah Busters NS
Mohtar Sani
Mohtar (duduk tiga dari kanan) bersama pasukan Rasuah Busters Negeri Sembilan yang dibentuk dalam mesyuarat rakan gabungan NGO pada Ahad.
Muhammad Ikmal

SEREMBAN – Bekas Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan, Mohtar Sani dipilih sebagai Pengerusi Jawatankuasa Rasuah Busters Negeri Sembilan.

Beliau yang merupakan Pengerusi Yayasan Antirasuah Malaysia (YARM) Negeri Sembilan berkata, gerakan menangani rasuah tidak akan berjaya jika ia hanya digalas oleh pihak SPRM semata-mata.

Sehubungan itu katanya, perlu ada satu gerakan secara berterusan seperti mana kempen Rasuah Busters dan pada masa sama perlu disokong oleh semua pihak.

“Semasa saya bertugas di SPRM dahulu, saya dilatih untuk basmi rasuah dengan cara menjalankan siasatan dan tangkapan individu yang terlibat rasuah sebelum mendakwa mereka di mahkamah.

“Jadi apa yang dibuat ini adalah satu kesinambungan terhadap usaha SPRM kerana mahu mendidik ini bukan sehari dua, tapi ia perlu berterusan tanpa jemu,” katanya ditemui selepas Mesyuarat Penubuhan Jawatankuasa Rasuah Busters Negeri Sembilan yang diadakan di sebuah hotel di sini pada Ahad.

Menurutnya, meskipun ada pihak yang memperlekehkan usaha dilakukan namun ia bukan sebab untuk berputus asa.

Penolong Setiausaha Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sembilan, Muhammad Ikmal Shamsul Bahrin yang dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Rasuah Busters Negeri Sembilan pula berkata, pendidikan secara tidak formal berkenaan rasuah perlu dipergiatkan terutama di peringkat golongan belia.

Ini kerana katanya, kelompok itu yang bakal menjadi pengganti pemimpin masa hadapan.

“Jika kita gagal mendidik belia dari sekarang untuk menentang rasuah, masa depan negara kita akan jadi lebih gelap.

“Sebab itu pentingnya pendidikan dan pencerahan soal rasuah dipergiatkan di peringkat belia, bukannya pendidikan secara formal semata-mata,” katanya.

Sementara itu, ahli jawatankuasa Persatuan Penduduk Desa Kolej Negeri Sembilan, Zabidi Ahmad dilantik sebagai Setiausaha manakala Yang Dipertua Ikram Negeri Sembilan, Amirasyid Densibali pula sebagai Timbalan Setiausaha.

Zabidi berkata, pertama kali dia mendengar kempen rasuah dikendalikan oleh pihak lain yang turut mendapat kerjasama daripada media.

“Ia satu pendedahan baharu buat saya kerana biasanya kempen rasuah ini dikendalikan oleh SPRM atau kerajaan.

“Jadi sebagai permulaan, saya akan bawa gerakan ini di peringkat komuniti saya terlebih dahulu dengan harapan ia dapat disebarluaskan di peringkat lebih besar,” katanya.

Amirasyid pula menyifatkan gerakan Rasuah Busters merupakan sesuatu yang amat diperlukan oleh negara ketika ini.

“Penubuhan jawatankuasa di peringkat negeri ini satu permulaan baik untuk kita gembleng tenaga menentang rasuah dalam apa jua bentuk di negeri masing-masing,” katanya

Antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain yang hadir ialah Majlis Belia India Malaysia Negeri Sembilan, Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Seremban, Pertubuhan Pemuda Gema Malaysia Negeri Sembilan (Gema) dan Kelab 4×4 Negeri Sembilan.

Turut hadir memberikan sokongan, Exco Persatuan Tadika Islam Malaysia, Prof Madya Dr Hamdan Daniel M Sharib.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here