Home Rasuah Busters NGO Melaka bergabung tolak rasuah

NGO Melaka bergabung tolak rasuah

0
NGO Melaka bergabung tolak rasuah
Isnin (depan, tengah) dan Ashwad (tiga dari kiri) bersama sebahagian ahli Rasuah Busters Negeri Melaka pada Sabtu.

MELAKA – Penubuhan Rasuah Busters Negeri Melaka memberi nafas baharu kepada badan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini untuk bergabung bersama bagi menolak, memberi dan menerima rasuah.

Pengerusinya, Datuk Isnin Aman, berkata, kewujudan Rasuah Busters ini menjadi titik-tolak bagi menzahirkan komitmen dan tekad bersama tanpa mengira latar belakang dan peringkat umur demi menyelamatkan generasi muda daripada gejala rasuah.

Menurutnya, ia bukanlah perkara yang mudah namun setidak-tidaknya usaha tersebut dapat mengurangkan budaya rasuah dalam kehidupan seharian masyarakat.

“Kita sedar rata-rata sekarang orang bercakap tentang rasuah, jadi sebagai rakyat kita memang takut dengan apa yang berlaku dalam negara.

“Mudah-mudahan gerakan seperti ini akan memberikan kesedaran kepada diri saya dan rakan-rakan di luar sana untuk bersama antirasuah,” kata Isnin.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian selepas mesyuarat Rasuah Busters Negeri Melaka di Restoran Asam Pedas Lagenda, Jalan Lagenda di sini, pada Sabtu.

Jelas beliau, dengan adanya jawatankuasa di peringkat negeri dapat menggerakkan program-program ke arah itu untuk melahirkan generasi akan datang bebas rasuah.

Katanya lagi, walaupun banyak program berkaitan rasuah dibuat di peringkat kerajaan dan NGO tapi ia dilihat kurang keberkesanan.

“Jadi sahabat-sahabat Rasuah Busters di negeri ini akan bersama dengan tujuan sama, kalau kita tak boleh hapuskan sepenuhnya namun dapat tingkatkan integriti,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusinya, Ashwad Abd Rahim berkata, Rasuah Busters adalah platform terbaik dalam memupuk semangat ketelusan dalam kehidupan seharian serta nilai-nilai murni bermula di peringkat akar umbi dan generasi harapan bangsa.

“Adanya platform untuk kita bimbing dan bentuk mereka bagaimana cara kita berdepan rasuah sama ada dalam situasi pemberi atau penerima rasuah.

“Harapan saya kita dapat kekalkan 'gagasan' Rasuah Busters ini dan kita ramaikan ahli supaya gerak kerja membanteras rasuah demi negeri dan anak bangsa tercapai,” katanya.

Dalam pertemuan itu, pensyarah Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Dr. al Amin Mohamad Sultan dilantik sebagai Setiausaha manakala Penolong Setiausaha, Kamarulzaman Rahman.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here