Home Rasuah Busters Amalan bodek juga rasuah

Amalan bodek juga rasuah

0
Amalan bodek juga rasuah

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyifatkan amalan bodek-membodek bagi mendapatkan ganjaran juga merupakan sebahagian daripada suapan ataupun jenayah rasuah.

Pemangku Presiden MTUC, Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, bagaimanapun amalan tersebut merupakan satu subjektif malah tidak mempunyai status yang jelas.

Justeru, beliau berkata, pindaan perlu dilakukan terhadap peruntukan undang-undang sedia ada termasuk Akta 2009 [Akta SPRM 694] dengan meletakkan kesalahan bodek-membodek itu dengan lebih jelas dan terperinci supaya masyarakat mudah faham.

“Sekiranya perkara ini tidak dihentikan dari sekarang nescaya ia akan menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat.

“Pihak kerajaan khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu mengambil langkah sewajarnya untuk mengatasi amalan bodek-membodek daripada terus berleluasa,” katanya ketika menjadi tetamu Kapsul Rasuah Busters di pejabat Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Mohd Effendy turut mencadangkan kerajaan mewujudkan satu aplikasi yang membolehkan pekerja sama ada di sektor awam atau swasta dapat membuat aduan berhubung rasuah.

“Saya kira ini merupakan antara medium terbaik untuk membantu mereka membuat laporan sekiranya berlaku rasuah dalam kalangan sektor masing-masing.

“Jika ia berjaya dilaksanakan, maka secara tidak langsung kita dapat membanteras amalan rasuah,” katanya.

Bagi memupuk kesedaran mengenai budaya rasuah dalam kalangan warga kerja, beliau turut menyarankan supaya majikan mewujudkan kursus induksi khususnya bagi mereka yang baharu sahaja melaporkan diri di syarikat terbabit.

“Dalam kursus induksi ini, ia perlu melibatkan semua pihak sama ada pegawai pengurusan kerani atau lain-lain jawatan. Tidak ada mana-mana jawatan yang terkecuali.

“Ini sedikit sebanyak dapat memupuk kesedaran pekerja,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here