Home Rasuah Busters ABMS ISO bukti MPKL tekad perangi rasuah

ABMS ISO bukti MPKL tekad perangi rasuah

0
ABMS ISO bukti MPKL tekad perangi rasuah

BANTING – Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) membuktikan kesungguhan mereka memerangi rasuah apabila menjadi antara pihak berkuasa tempatan (PBT) pelopor dalam pencapaian sistem pengurusan antirasuah.

Timbalan Yang Dipertua MPKL, Arpaaii Sanat berkata, perkara itu dizahirkan dengan kejayaan persijilan Anti-Bribery Management System (ABMS ISO 37001:2016) dalam usaha menangani gejala rasuah dalam organisasi masing-masing secara lebih bersistematik dan holistik.

Katanya, sebagai sebuah institusi penting negara, warga PBT akan menjadi barisan hadapan yang membudayakan integriti dalam melaksanakan penyampaian perkhidmatan.

“Kami akan memberi kerjasama kepada pihak yang bertanggungjawab iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan melaporkan sebarang bentuk tawaran rasuah dan bertindak sebagai tukang adu dalam menyalurkan maklumat serta melaporkan sebarang perlakuan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan di semua peringkat.

“Melihat kepada situasi pasca pemulihan Covid-19 dan aktiviti ekonomi yang semakin rancak, pemantauan dan pencegahan efektif juga akan diteruskan bagi memastikan tiada ketirisan atau peluang untuk berlakunya rasuah di semua peringkat perkhidmatan.

“Tumpuan dalam memastikan semak dan imbang serta sentiasa memberi peringatan keras bagi menangani risiko berlakunya rasuah dalam tempoh peralihan semasa dan pasca pemulihan pandemik ini,” katanya ketika berucap sempena program Konvoi #RasuahBusters di Dataran Pantai Morib pada Ahad.

Mengulas lanjut, Arpaaii berkata, pihaknya tegas bagi memastikan tiada ruang untuk kegiatan rasuah dalam MPKL.

Menurut beliau, MPKL tegas dalam menyatakan pendirian, komitmen dan sokongan dalam menyebar luaskan mesej antirasuah sebagai isyarat kepada pelaku rasuah untuk menghentikan perlakuan jenayah.

Jelasnya, ia merupakan kesinambungan janji MPKL yang diumumkan oleh Yang Dipertua MPKL, Datuk Amirul Azizan Abd Rahim pada sambutan Hari Antirasuah 2020 untuk memberikan penghargaan kepada warga kerja yang melaporkan sebarang bentuk rasuah.

“Kita tidak mahu sistem penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat terjejas dengan gangguan perlakuan rasuah yang boleh membawa kepada keruntuhan kepercayaan dan menjejaskan kecekapan pentadbiran di daerah ini.

“Selaras dengan moto MPKL, Kuala Langat Indah, Harmoni dan Bestari, usaha untuk membangunkan sebuah daerah yang berdaya huni melalui tadbir urus yang inovatif untuk kesejahteraan rakyat akan dapat dilaksanakan dengan jayanya tanpa gangguan gejala rasuah.

“Sebagaimana rasuah mampu melenyapkan suatu tamadun, kita tidak mahu kejayaan dan pelbagai siri kecemerlangan pentadbiran dan penganjuran acara yang telah dicapai oleh MPKL dilupakan hanya disebabkan perlakuan negatif tersebut,” ujarnya.

Selain itu katanya, usaha berterusan dalam menambah baik mutu perkhidmatan menjadi teras amalan di MPKL apabila pihak pengurusan tertinggi memberi penekanan agar sistem dan prosedur di setiap jabatan diperhalusi risikonya.

Pada masa sama, ia perlu diteliti agar tiada ruang berlakunya ketirisan untuk mewujudkan perkhidmatan awam yang berprestasi tinggi dan berintegriti.

Jelasnya, amalan penggiliran tugasan di jabatan dilihat memberi tambah nilai menambah nilai dan bakat warga kerja malah turut mengurangkan peluang berlakunya rasuah, salah guna kuasa serta penyelewengan pada masa hadapan.

“Pihak Majlis juga serius dalam melaksanakan penilaian dan pengurusan risiko berlakunya rasuah dalam organisasi dengan wujudnya Unit Integriti.

“Usaha untuk memperbanyakkan lagi kempen pemantapan integriti dalam kalangan kakitangan dan warga masyarakat di daerah ini akan diteruskan bagi menzahirkan kesungguhan dan kesediaan pihak MPKL dalam usaha membanteras rasuah,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:Konvoi berakhir di Dataran Pantai Morib

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here