Home Koronavirus Sesi penerangan saintifik perlu diperbanyakkan tangani isu vaksinasi

Sesi penerangan saintifik perlu diperbanyakkan tangani isu vaksinasi

0
Sesi penerangan saintifik perlu diperbanyakkan tangani isu vaksinasi

JOHOR BAHRU – Sesi penerangan secara saintifik dengan menggunakan data Kementerian Kesihatan (KKM) perlu diperbanyak oleh pihak berwajib bagi menangani isu vaksinasi dalam kalangan murid sekolah dan ibu bapa.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini kerana terdapat pengetua dan guru besar membangkitkan mengenai sikap segelintir ibu bapa yang masih enggan membenarkan anak-anak mereka divaksinasi.

Beliau berkata, keadaan itu sudah tentunya mengundang risiko jangkitan bukan hanya kepada murid atau pelajar yang tidak divaksin tetapi juga kepada guru dan murid yang telah lengkap menerima dua dos serta dos penggalak.

“Sehubungan itu, mereka meminta agar kerajaan mewajibkan pengambilan vaksin kepada pelajar bagi menyelesaikan masalah ini. Sebagai Pengerusi MPN, saya mengambil maklum semua perkara yang dibangkitkan,” katanya dalam catatan menerusi laman Facebooknya pada Jumaat.

Kerajaan katanya, tidak mewajibkan pengambilan vaksin Covid-19 pada ketika ini.

Muhyiddin berkata, beliau berpeluang berjumpa dengan kira-kira 300 warga pendidik yang terdiri daripada pengetua dan guru besar serta pimpinan Persatuan Ibu Bapa dan Guru dalam Majlis Dialog Pengerusi MPN Bersama Warga Pendidik di Kota Tinggi pada Jumaat.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, dalam majlis itu, beliau berkongsi tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika negara dilanda pandemik Covid-19 termasuk menempah bekalan vaksin dan melancarkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Katanya, dalam majlis sama, beliau juga mendengar pandangan dan cadangan dibangkitkan warga pendidik termasuk isu keupayaan kerajaan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dalam talian di sekolah, cabaran guru dalam era pandemik selain vaksinasi dalam kalangan murid dan ibu bapa.

“Saya yakin dan percaya pengalaman mengajar dalam era pandemik Covid-19 menjadikan golongan guru dan pendidik di negara ini sentiasa bersedia untuk berhadapan dengan cabaran-cabaran baharu dalam bidang pendidikan pada masa akan datang,” katanya. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here