Home Koronavirus Covid-19: 33,209 kes baharu, tertinggi sejak pandemik

Covid-19: 33,209 kes baharu, tertinggi sejak pandemik

0
Covid-19: 33,209 kes baharu, tertinggi sejak pandemik

SHAH ALAM – Jumlah kes harian Covid-19 di negara ini terus mencatatkan peningkatan dengan 33,209 kes pada Jumaat, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 3,561,766 kes.

Ini adalah kes tertinggi yang direkodkan Malaysia sejak pandemik Covid-19 melanda negara dua tahun lepas.

Kali terakhir mencatatkan angka melebihi 32,000 kes adalah pada Khamis iaitu sebanyak 32,467 kes.

Menurut data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di portal CovidNow, 32,768 kes adalah penularan tempatan, manakala 441 lagi adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Daripada jumlah keseluruhan yang dilaporkan pada Jumaat, 11 negeri merekodkan kes empat angka dengan Selangor tertinggi iaitu 8,798 kes, diikuti Kuala Lumpur (4,067); Kedah (3,016); Pulau Pinang (2,584); Johor (2,313); Sabah (2,131); Negeri Sembilan (1,676); Kelantan (1,528); Perak (1,505); Pahang (1,480) dan Sarawak (1,329),

KKM juga memaklumkan sebanyak 78 kematian baharu dicatatkan menjadikan jumlah kematian terkumpul sebanyak 33,106 kes.

Daripada 78 kes kematian itu, 22 kes merupakan kes kematian di luar hospital (BID) dengan jumlah keseluruhan BID sebanyak 6,830.

Menerusi portal itu juga, terdapat 305,010 kes aktif Covid-19 di seluruh negara.

Daripada jumlah tersebut, 292,696 individu atau 96 peratus daripadanya sedang menjalani kuarantin di rumah.

Seramai 3,442 orang pula ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

Sebanyak 8,524 kes dirawat di hospital dan 348 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).

Kes ICU membabitkan 211 pesakit memerlukan bantuan pernafasan dan 137 lagi memerlukan mesin ventilator.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here