Home Koronavirus SelVAX Bergerak peruntuk 50,000 dos vaksin Covid-19

SelVAX Bergerak peruntuk 50,000 dos vaksin Covid-19

0
SelVAX Bergerak peruntuk 50,000 dos vaksin Covid-19

KLANG – Program Vaksin Selangor Bergerak (SelVAX Mobile) memperuntukkan 50,000 dos vaksin Covid-19 untuk komuniti di negeri ini bermula pada Ahad.

Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, program SelVAX kini memasuki fasa ketiga, yang mana sebelum ini merupakan SelVAX Komuniti dan SelVAX Industri yang berjaya dilengkapkan.

Menurutnya, program SelVAX Mobile menggunakan dua kenderaan iaitu sebuah bas dan van klinik bergerak yang dipinjamkan oleh hospital swasta kepada kerajaan negeri.

“Penggunaan kedua-dua kenderaan tersebut sebagai tempat suntikan vaksin mampu memberi suntikan sebanyak 750 dos vaksin sehari.

“Di Selangor, ada ramai warga asing yang belum mengambil suntikan vaksin terdiri daripada pendatang asing tanpa izin (PATI), pelarian dan berbagai lagi.

“Jadi, kerajaan Selangor akan terus mendekati golongan tersebut menerusi program ini,” katanya ketika melawat program SelVAX Mobile di Kompleks Pasar Besar Meru, di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, Siti Mariah berkata, program di Kompleks Pasar Besar Meru merupakan lokasi pertama SelVAX Mobile yang dilaksanakan dengan kerjasama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baru Klang, Datuk Teng Chang Kim.

Siti Mariah berkata, pihaknya akan mengeluarkan jadual mingguan di Facebook miliknya dan Selgate untuk mengetahui lokasi SelVAX Bergerak yang bakal diadakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

Katanya, vaksin yang dibekalkan kerajaan Selangor adalah percuma kepada penganjur, namun mereka perlu mengemukakan senarai nama penerima vaksin supaya bekalan mencukupi dapat diberikan.

“Mereka yang ingin mendapatkan suntikan vaksin melalui program ini perlu mendaftar menerusi aplikasi SeLangkah, atau ke pejabat ADUN berdekatan untuk mendapatkan kupon vaksinasi.

“Saya menyeru kepada ketua penduduk untuk hubungi kami jika ingin mengadakan program vaksinasi ini dalam komuniti masing-masing kerana kami tidak hadkan kepada ADUN dan ahli Parlimen sahaja, kami juga memberi peluang kepada mana-mana NGO, tapi mereka kena kemukakan senarai penerima,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here