Home Koronavirus ‘Saya pasrah, tidur kemudian bangun atau tidur selamanya’

‘Saya pasrah, tidur kemudian bangun atau tidur selamanya’

0
‘Saya pasrah, tidur kemudian bangun atau tidur selamanya’

KUALA TERENGGANU – Bekas pesakit Covid-19 meluahkan rasa syukur kerana masih diberi peluang bernafas setelah disahkan positif Covid-19 tahap empat dengan lebih 50 peratus bahagian paru-parunya diserang virus berkenaan.

Syahril Hirman Azmee, 42, yang merupakan Pegawai Sains Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dirawat selama 16 hari di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) termasuk tiga hari di unit rawatan rapi (ICU) selepas disahkan positif pada 17 Mei lalu.

“Saya demam sejak 13 Mei, sesak nafas serta hilang selera makan. Setelah diperiksa, doktor dapati bacaan oksigen saya terlalu rendah dan saya dibawa ke hospital menaiki ambulans sebelum dimasukkan ke ICU.

“Waktu itu, saya sempat telefon mak beritahu akan dimasukkan ke ICU. Mak nampak tenang dan pesan supaya saya reda, mengucap dan banyak-banyak ingat ALLAH SWT,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Syahril Hirman berkata, beliau terpaksa ‘ditidurkan’ selama sehari setengah memandangkan tahap kesihatannya semakin merosot dan badannya semakin lemah.

“Sebelum ditidurkan doktor ajar saya mengucap. Masa itu saya pasrah dan berserah segalanya kepada takdir. Tidur bangun kembali atau tidur selamanya.

“Tetapi doktor sangat positif, dia pesan zikir banyak-banyak ingat ALLAH SWT dan akan lakukan yang terbaik. Apabila doktor beri keyakinan, saya juga rasa tenang dan tidak panik,” katanya.

Menurut Syahril Hirman, doktor memaklumkan badannya menunjukkan perubahan positif selepas tiga hari di ICU dan dibenarkan ke wad pemerhatian sebelum dipindahkan ke wad biasa selepas tempoh seminggu.

“Sebenarnya saya menangis apabila melihat lebih separuh paru-paru saya kelihatan kabur kerana diserang virus itu.

“Saya seolah-olah tidak percaya masih selamat kerana doktor maklumkan kebanyakan pesakit di tahap saya, peluang untuk sembuh dan hidup adalah 50-50,” katanya.

Dalam pada itu, Syahril Hirman mengakui dia tidak merokok dan mengamalkan pemakanan sihat.

“Selepas dibenarkan keluar wad pada 1 Jun lalu, doktor beritahu paru-paru saya akan pulih dalam tempoh lima hingga enam bulan dan perlu menjaga kesihatan serta pemakanan supaya paru-paru semakin kuat.

“Kesan yang saya dapat lihat selepas pulih dari Covid-19 ialah cepat mengah, tidak boleh buat aktiviti joging malah turun naik tangga pun akan rasa semput,” katanya.

Katanya, beliau sangat bersyukur kerana ALLAH SWT memberi peluang kedua kepadanya untuk hidup dan menyeru kepada semua supaya teruskan menjaga kesihatan diri dan keluarga.

“Saya juga amat berterima kasih kepada barisan ‘frontliners’ yang bertungkus-lumus bekerja demi menyelamatkan nyawa insan lain,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here