Home Koronavirus Pulau Pinang sedia peruntuk RM3 juta untuk saringan besar-besaran

Pulau Pinang sedia peruntuk RM3 juta untuk saringan besar-besaran

0
Pulau Pinang sedia peruntuk RM3 juta untuk saringan besar-besaran

GEORGETOWN – Kerajaan Pulau Pinang memperuntukkan sekitar RM3 juta khusus bagi melaksanakan program saringan secara besar-besaran terhadap kumpulan komuniti sasaran di 40 kawasan Dewan Undangan Negeri.

Pengerusi jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo pada Sabtu berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat exco semalam (Jumaat).

Beliau berkata, pendekatan itu akan meningkatkan lagi jumlah saringan kepada tambahan 40,000 sampel, dengan setiap kawasan Dewan Undangan Negeri boleh menguji 1,000 sampel.

Katanya, langkah itu selaras dengan inisiatif pemeriksaan RT-PCR air liur yang dikumpulkan di lokasi, yang merupakan usaha bersama antara negeri dan Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) Pulau Pinang untuk melaksanakan pemeriksaan besar-besaran di sektor pembuatan,” katanya pada sidang media sebelum membuat pemeriksaan prosedur operasi standard (SOP) di pasar Jalan Kuantan di sini.

Menurutnya ia juga amat bermanfaat dalam proses membuat persiapan untuk menerima kumpulan vaksin berikutnya, yang dijangka tiba di Malaysia bulan depan.

Sementara itu Ketua Menteri Chow Kon Yeow dalam satu kenyataan berkata, kerajaan negeri sedang meninjau keperluan untuk mewujudkan pusat vaksinasi bersaiz besar, dalam usaha menyegerakan kerja-kerja vaksinasi di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Beliau berkata, kerajaan negeri sedang bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan untuk meningkatkan kadar vaksinasi kepada 22,000 individu seminggu pada bulan Jun.

“Kita berhasrat wujudkan pusat vaksinasi bersaiz besar bagi menyegerakan program vaksinasi, termasuk kepada kumpulan ‘barisan hadapan ekonomi’ yang berkhidmat di sektor pengilangan dan industri, di samping mereka yang berada di dalam daerah zon merah,” katanya.

Kon Yeow berkata, kerajaan negeri juga berhasrat untuk membeli bekalan vaksin untuk diberikan kepada penduduk Pulau Pinang.

“Perancangan logistik, sistem pendaftaran yang boleh integrasi data dari MySejahtera, pengwujudan pasukan perubatan berdaftar tambahan, pusat vaksinasi dan lain-lain perkara yang berkaitan, sedang dikaji bagi membolehkan program ini berjalan dengan lancar di masa hadapan,” katanya. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here