Home Koronavirus Pharmaniaga bekal 12 juta dos vaksin menjelang Julai ini

Pharmaniaga bekal 12 juta dos vaksin menjelang Julai ini

0
Pharmaniaga bekal 12 juta dos vaksin menjelang Julai ini

PASIR GUDANG – Pharmaniaga Bhd (Pharmaniaga) mampu membekalkan 12 juta dos vaksin Covid-19 Sinovac untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) menjelang Julai ini.

Pengerusi Boustead Holdings Berhad, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, jumlah dos berkenaan cukup untuk memberi suntikan kepada kira-kira enam juta rakyat Malaysia.

Justeru beliau yang juga Pengerusi Pharmaniaga berharap, kerajaan akan mempercepatkan penglibatan sektor swasta dalam pelaksanaan PICK.

“Pharmaniaga sedang menyediakan bekalan vaksin Sinovac sebanyak 12 juta dos vaksin, namun jumlah vaksin yang besar tidak akan dapat dimanfaatkan sepenuhnya sekiranya jumlah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) tidak ditambah.

“Jadi saya menyeru kerajaan melaksanakan ‘parallel vaccination’ seperti di Indonesia iaitu melibatkan pemain industri kesihatan swasta dalam pemberian vaksin bagi membolehkan negara mencapai sasaran imuniti kelompok yang ditetapkan secepat mungkin,” katanya.

Pengerusi Yayasan Pasir Gudang (YPG) itu berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan YPG kepada PPV di Dewanraya Bandar Seri Alam, di sini pada Sabtu.

Sumbangan YPG tersebut melibatkan peti sejuk, notebook, sofa, mesin cetak dan televisyen serta perbelanjaan sarapan pagi untuk PPV tersebut selama sebulan yang semuanya berjumlah RM48,000.

Mohamed Khaled berkata, langkah itu penting kerana jika hanya bergantung kepada aset kerajaan akan mengambil tempoh masa terlalu lama.

“PPV di Dewanraya Bandar Seri Alam ini misalnya hanya mampu melakukan suntikan vaksinasi kepada 1,000 penerima sehari, jika diikutkan jumlah penduduk setempat, ia akan memerlukan tempoh lebih daripada setahun untuk selesai.

“Jadi kerajaan perlu menyegerakan penglibatan industri kesihatan swasta terpilih dalam membantu proses vaksinasi khususnya di kawasan penting seperti kawasan perindustrian bagi membolehkan sektor ekonomi terus berjalan dalam keadaan lebih terkawal,” katanya.

Sebagai contoh katanya, di Pasir Gudang dan Pengerang, Johor dan beberapa tempat di Selangor yang banyak menyumbang kegiatan ekonomi.

Dalam perkembangan lain, beliau yang juga bekas Menteri Besar Johor menyeru syarikat swasta tampil membantu PPV di kawasan masing-masing termasuk meringankan beban petugas barisan hadapan negara.

Jelasnya, banyak perkara yang boleh pihak swasta bantu seperti menyediakan kemudahan peralatan dan perkakas atau kemudahan diperlukan selain menyumbang bekalan makanan dan minuman.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here