Home Koronavirus Tidak periksa MySejahtera punca gagal hadir janji temu vaksin

Tidak periksa MySejahtera punca gagal hadir janji temu vaksin

0
Tidak periksa MySejahtera punca gagal hadir janji temu vaksin

JOHOR BAHRU – Tidak memeriksa aplikasi MySejahtera menjadi punca kebanyakan individu di negeri ini tidak hadir janji temu suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan peringkat Johor.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, terdapat juga individu yang menolak vaksin disebabkan pendaftaran mereka dibuat oleh keluarga.

“Seramai 148,870 orang telah menerima suntikan vaksin Covid-19 dos satu dan 79,958 orang telah menerima vaksin Covid-19 dos dua setakat Jumaat.

“Sehingga kini didapati 9.8 peratus individu yang telah diberi janji temu tidak hadir untuk menerima vaksin.

“Antara sebab yang diberikan ialah tidak memeriksa aplikasi MySejahtera, memohon untuk ditukar tarikh janji temu dan menolak vaksin kerana pendaftaran mereka dibuat oleh keluarga,” katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Sementara itu, Vidyananthan berkata, sebanyak 762 kes baharu Covid-19 dicatatkan di negeri ini dengan jumlah kumulatif kes sebanyak 56,993 kes sehingga Jumaat.

“Kumulatif kluster aktif di negeri ini sebanyak 97 kluster di mana 30 kluster melibatkan penularan dalam industri, 44 kluster komuniti, 16 kluster institusi, dua kluster pasar raya, empat kluster melibatkan tahanan dan satu kluster import,” katanya.

Beliau turut memaklumkan terdapat lima lokaliti yang sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) susulan peningkatan kes yang dilaporkan.

“Lokaliti yang terlibat adalah Felda Kahang Timur (Daerah Kluang), UTM Skudai (Daerah Kulai), Asrama Oceanic Fabric Jalan Mengkibol (Daerah Kluang), Asrama Purnabina Jalan Makasar (Daerah Kluang) dan Felda Redong Satu (Daerah Segamat),” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here