Home Koronavirus PKP penuh di Perak belum dimuktamadkan

PKP penuh di Perak belum dimuktamadkan

0
PKP penuh di Perak belum dimuktamadkan

IPOH – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara penuh di Perak masih belum dimuktamadkan lagi.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, dalam mesyuarat sebelum ini telah dibincangkan kemungkinan untuk menguatkuasakan pelaksanaan PKP yang ketat, namun perkara itu belum diputuskan secara muktamad.

“Ada beberapa siri mesyuarat yang dipengerusikan oleh saya sendiri dan Setiausaha Kerajaan Negeri. Dalam mesyuarat itu ada dibincangkan kemungkinan untuk PKP, tetapi setakat ini kita belum buat apa-apa keputusan muktamad.

“Apabila kita sudah ada keputusan nanti, kita akan keluarkan kenyataan. Jadi sehingga itu, saya mohon orang ramai agar tidak menyalahgunakan media sosial dengan menularkan perkara yang tidak benar,” katanya pada sidang media secara maya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.

Menurut beliau, kerajaan negeri sedang memperhalusi cadangan-cadangan dan keperluan yang boleh dilakukan untuk menangani penularan Covid-19 terutama di daerah merekodkan kes baharu yang tinggi.

“Hari ini jam 3 petang, saya akan pengerusikan satu lagi mesyuarat mengenai Covid-19 dan kita akan lihat apa yang kerajaan negeri boleh lakukan untuk tangani kes ini terutama di daerah Kinta, Hulu Perak dan Larut Matang Selama serta seluruh Perak amnya.

“Saya harap rakyat bersabar dan menyokong apa juga keputusan dibuat kerajaan negeri nanti untuk kebaikan bersama,” katanya.

Sebelum ini, tular mesej di aplikasi WhatsApp menyatakan bahawa Perak akan melaksanakan PKP secara penuh sepertimana PKP 1.0 berikutan kadar kebolehjangkitan virus yang tinggi.

Dalam perkembangan sama, Saarani berkata, kerajaan negeri sedang mengenal pasti lokasi Pusat Rawatan Covid-19 Risiko Rendah (PKRC) yang baharu sama ada di zon utara atau kawasan Hilir Perak dan Manjung sebagai persiapan menghadapi kemungkinan berlakunya peningkatan kes jangkitan yang berlarutan.

Katanya, dalam hal ini, Perak tidak lagi boleh bergantung kepada PKRC di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Selangor atau di Jawi, Seberang Perai di Pulau Pinang memandangkan kedua-dua pusat itu menghadapi peningkatan jumlah pesakit.

“Sebagai langkah awal kesiapsiagaan, kita telah meningkatkan kapasiti PKRC di Stadium Badminton Ipoh daripada 208 kepada 308 katil bagi menampung unjuran kes positif yang dijangka meningkat dalam tempoh tiga hingga empat minggu akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga memaklumkan keputusan mesyuarat bahawa kerajaan negeri bersetuju untuk menyediakan peruntukan makan minum kepada petugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sebagai sokongan berterusan khususnya kepada petugas barisan hadapan yang terus berjuang memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

“Bagaimanapun, saya memohon agar semua PPV ini dapat memastikan kepatuhan kepada SOP dan bersiap siaga dengan kawalan agar tidak berlaku kesesakan yang boleh membawa kepada risiko penularan kluster baharu,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here